Berita Hari Ini

NGO Gesa Kerajaan Haramkan Rokok Elektronik

KUALA LUMPUR – Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) bersama 45 badan bukan kerajaan (NGO) pada Khamis, menandatangani memorandum, sepakat mendesak kerajaan segera mengharamkan rokok elektronik atau vape demi kepentingan kesihatan masyarakat.

Presiden (MCTC) Prof Datuk Dr Lekhraj Rampal berkata pasaran dan penggunaan rokok elektronik secara meluas dalam kalangan pelajar sekolah amat membimbangkan NGO berkaitan perubatan, kesihatan, kekeluargaan, wanita, belia, dan kanak-kanak kerana ramai pelajar kini terjerat dengan ketagihan nikotin serta terpedaya dengan mesej kesihatan salah yang menyatakan rokok elektroni selamat digunakan.

“Saranan untuk mengharamkan produk berkenaan dicadangkan sejak 2015 namun Kabinet memutuskan untuk tidak membuat larangan penggunaan dan penjualan vape. Saya tidak mengetahui kenapa mereka berbuat demikian. Kesannya, setiap hari akhbar melaporkan kanak-kanak sekolah rendah didapati menghisap vape,” katanya pada sidang media di bangunan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), sebagaimana dilaporkan Bernama.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 21 Dis 2015 memutuskan bahawa hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Sebanyak 33 kes kematian melibatkan pengguna vape dilaporkan di Amerika Syarikat dengan majoritinya terdiri dalam kalangan golongan muda.

Sehingga kini, 43 negara di dunia termasuk Thailand, Singapura, Brunei dan Kemboja mengambil langkah melarang penjualan dan penggunaan vape dan mengharamkan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

Justeru, katanya tiada alasan untuk Malaysia terus membiarkan kemusnahan dan kemudaratan rokok elektronik berleluasa.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat mendedahkan 300,000 pelajar berusia antara 10 hingga 19 tahun merupakan pengguna vape semasa di negara ini.

Data itu diperoleh menerusi ‘Kaji selidik terhadap tembakau dan e-rokok di kalangan orang dewasa di Malaysia’ yang dijalankan ke atas pelajar di sekolah awam dan swasta baru-baru ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");