Panasnya Hari Ini

PAS Bukan Dalang

MELAKA: Ketika kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Melaka menolak andaian kerajaan negeri itu akan bertukar tangan, PAS Melaka mendakwa sudah ada perbincangan mengenainya sejak beberapa bulan lalu.

Memetika laporan Bernama, PAS Melaka menafikan ia terbabit sebagai dalang membentuk ‘kerajaan pintu belakang itu’, tetapi Pesuruhjaya, Kamaruddin Sedik, mendakwa pertukaran dijangka berlaku beberapa bulan lagi.

Beliau mengakui pernah bertemui dan berbincang isu berkenaan dengan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH yang mahu beralih arah itu.

Sekurang-kurangnya tiga ADUN PH didakwa bersetuju untuk bersama dengan 13 ADUN Barisan Nasional (BN) Melaka membentuk kerajaan baharu, sekali gus menggantikan kepemimpinan negeri yang ketika ini diketuai Ketua Menteri, Adly Zahari.

Malah, seorang lagi ADUN juga dikatakan berminat menyertai kumpulan terbabit, namun masih belum membuat keputusan mengenainya.

Pada masa ini, kedudukan kerusi DUN Melaka ialah 15 PH dan 13 BN yang semuanya dari UMNO.

Jika tiga ADUN PH berkenaan berpaling tadah, BN akan memiliki 16 kerusi, manakala PH sembilan.

Pada masa ini, komposisi kerusi PH ialah DAP (lapan), PKR (tiga) dan masing-masing dua milik BERSATU dan AMANAH.

Kamaruddin bagaimanapun enggan mendedahkan butiran perbincangan berkenaan serta nama ADUN yang dikatakan terbabit dalam usaha menukar kepemimpinan negeri itu.

“PAS bukan dalang kepada usaha ini, tetapi wakil mereka (ADUN) datang berjumpa kita untuk mendapatkan pandangan dan saya memberikan kerjasama kepada mereka.

“Berdasarkan kepada situasi itu, saya jangka pembentukan kerajaan melalui pintu belakang ini akan berlaku dalam beberapa bulan ini dan berharap rakyat bersedia menerimanya dengan tenang dan hati yang terbuka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri pelancaran Kempen Beli Produk Muslim peringkat negeri di Klebang, di sini.

Desas-desus sebelum ini mendakwa wujud pakatan untuk menggantikan kepemimpinan Adly melalui pembentukan ‘kerajaan pintu belakang’ di negeri ini.

Sementara itu, sumber berkata, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung enam hari bermula 18 November ini dijangka hangat.

Antaranya ialah pembentangan usul memecat EXCO yang ditahan atas siasatan Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) dan kemungkinan kejutan ADUN terbabit mengumumkan bersama BN, seterusnya membentuk kerajaan baharu.

Adly pada Jumaat lalu menafikan dakwaan kononnya wujud persefahaman untuk membentuk sebuah ‘kerajaan pintu belakang’ di negeri Melaka.

Beliau berkata, tidak wujud istilah ‘kerajaan pintu belakang’ memandangkan kerajaan negeri diterajui PH kekal utuh.

“Saya fikir mungkin pada peringkat nasional Majlis Presiden PH boleh selesaikan sebarang isu berbangkit. Begitu juga halnya di peringkat negeri melalui rakan komponen dalam PH.

“Setakat ini, kita (Melaka) tidak bincang lagi dan tidak ada isu berbangkit cuma desas-desus itu pelbagai,” katanya.

Pada hari sama, 14 ADUN PH menyatakan sokongan padu kepada kepemimpinan Adly.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");