Berita Hari Ini

Pemilik, Pengurusan Syarikat Perlu Faham Operasi Media

KUALA LUMPUR: Usaha untuk menghidupkan semula akhbar yang ditutup bukan tugas mudah, tegas Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

Dengan menjadikan penutupan Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan)

sebagai contoh, beliau menjelaskan, pemilik dan pihak pengurusan baharu yang mengambil alih syarikat itu perlu cekap serta memahami secara mendalam hal berkaitan operasi media.

Tegas beliau, pemilik perlu mengetahui bilangan pekerja optimum diperlukan, khususnya di jabatan pengarang bagi membolehkan akhbar dalam kumpulan itu beroperasi secara lestari dan boleh ‘dirasai’ pembaca serta pengiklan.

Beliau berpendapat, dalam banyak percubaan pemulihan dan konsolidasi media yang berlaku di negara ini dan tempat lain, kesilapan paling besar dilakukan ialah mengecilkan bilangan kakitangan bagi menjimatkan kos.

“Bilangan petugas dikurangkan daripada sudut jumlah, kos dan pengalaman. Wartawan kanan ditawarkan skim pemberhentian sukarela (VSS) kerana kos perjawatan mereka tinggi.

“Yang tinggal wartawan pertengahan dan junior yang tidak cukup pengalaman dan pengetahuan.

“Kalau tidak kerana tabiat, saya pun tidak mahu lagi membaca surat khabar kerana kualitinya dari segala sudut, tata bahasa, gaya penulisan, ketepatan maklumat dan analisis merosot dengan teruk sekali,” katanya menerusi laman blognya The Scribe A Kadir Jasin, hari ini.

Rabu lalu, Lembaga Pengarah Utusan membuat keputusan menutup operasi syarikat itu. Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir menyatakan Lembaga Pengarah Utusan pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang.

Susulan penutupan operasi Utusan, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata sebahagian daripada pekerja Utusan akan diambil semula untuk bekerja di bawah syarikat baharu, Aurora Mulia Sdn Bhd.

Aurora Mulia, syarikat yang dikaitkan dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, membeli 70 peratus kepentingan saham dalam anak syarikat milik penuh Dilof Sdn Bhd, syarikat induk yang memegang lesen percetakan Utusan.

A Kadir turut mendedahkan beliau mendapat maklumat operasi penyusunan semula membabitkan pengurangan kakitangan jabatan pengarang akan turut berlaku di Media Prima Berhad (MPB), tetapi tidak menjelas lanjut.

Beliau menganggap tindakan mengecilkan bilangan kakitangan, terutama di jabatan pengarang bagi menjimatkan kos akan menyebabkan segala usaha menambah baik akhbar ibarat sekadar ‘cakap kosong’.

Katanya, jika akhbar mahu berfungsi secara optimum, perimbangan di antara keberkesanan kos dan jumlah kakitangan mencukupi penting.

“Kalau tidak ada modal, akhbar tidak boleh diterbitkan. Tetapi kalau akhbar tidak memenuhi selera dan jangkaan pembaca, ia tidak laku dijual.

“Sekiranya pembaca berasa akhbar dihidupkan semula atau ditambah baik itu tidak mencapai tahap yang mereka harapkan, operasi itu menjadi sia-sia,” tegas beliau.

Beliau berpendapat, keputusan menghentikan sementara penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! sebagai satu beban ke atas usaha menghidupkan semula dua akhbar terbabit.

“Dalam tempoh pemberhentian itu, pembaca mungkin berpindah ke akhbar lain atau berasa mereka boleh mendapat maklumat daripada sumber lain yang sama baik.

“Kesimpulannya, menghidupkan semula akhbar yang ditutup bukan mudah, tetapi dalam hal Utusan Malaysia ini, unsur sejarah dan emosi mungkin membantu,” katanya.

Beliau percaya, usaha menghidupkan semula akhbar Utusan mampu dicapai jika berlaku perubahan yang nyata dan orang Melayu berasa membaca adalah penting.

“Bagi saya, tanpa membaca seseorang itu tidak mampu berfikir apatah lagi berkarya atau berhujah dengan baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");