Panasnya Hari Ini

Pemuda Bersatu Tak Perlu Campur Isu Disiplinkan Ronnie Liu, kata DAP

PENGERUSI Jawatankuasa Displin DAP mengetepikan tempoh masa seminggu diberikan Pemuda Bersatu supaya tindakan diambil ke atas Adun Sungai Pelek Ronnie Liu.

Chong Chieng Jen berkata tiada siapa yang boleh menentukan kaedah dan tempoh masa untuk parti itu mengambil tindakan displin ke atas ahlinya.

Tambahnya, ugutan Pemuda Bersatu tentang “serangan terbuka kepada semua pemimpin DAP” jika parti itu gagal mendisplinkan Liu “tidak dialu-alukan, tidak matang dan tidak menyumbang kepada perpaduan kerajaan Pakatan Harapan”.

Beliau yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna menjelaskan, walaupun DAP terbuka menerima aduan awam supaya tindakan displin dikenakan ke atas mana-mana ahlinya, ia tidak bermaksud sesiapa sahaja boleh menentukan bagaimana dan kaedah tata tertib itu dilakukan.

“Selaku pengerusi Jawatankuasa Displin, saya mahu menegaskan yang DAP adalah parti berdisplin dan tidak akan bertolak ansur untuk mengambil tindakan displin ke atas mana-mana ahli kami.

“Kami ada standard displin yang tinggi dan prosedur dalaman untuk menguatkuasakan tindakan tata tertib itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendedahkan yang jawatankuasa sudah menerima aduan terhadap Liu dan rencananya disiarkan Malaysiakini pada 22 Oktober lalu yang mengecam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan rencana yang diterbitkan oleh The Star.

Jelasnya, proses bertindak terhadap aduan itu sudah bermula.

Sehubungan dengan itu, jawatankuasa yang dipengerusinya merasakan pilihan dibuat Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai “tidak perlu dan tidak seharusnya berulang”.

“Kita semua bekerja keras untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14 dan membentuk kerajaan bukan hasil usaha kita sahaja tetapi kerana sokongan kuat rakyat Malaysia.

“Mari salurkan tenaga dan usaha untuk menyampaikan pembaharuan yang kita janjikan untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik dan kuat berbanding diganggu dengan (tindakan) tidak berdisplin dan tidak matang dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, Liu terus bertegas mempertahankan kritikan dan enggan menarik balik kecaman terhadap Dr Mahathir dan Bersatu.

Katanya, beliau tidak melakukan kesalahan dan hanya menggunakan haknya serta bersedia berdepan tindakan displin jawatankuasa partinya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");