Perak Hari Ini

Perak Bakal Anjur Sukan Antara Jabatan Buat Pertama Kali

IPOH- Kerajaan Perak buat julung kalinya bakal menganjurkan program sukan di antara jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How berkata tujuan utama karnival sukan itu adalah untuk mengukuhkan lagi jalinan persahabatan antara jabatan dan agensi kerajaan.

“Selain dari mengeratkan hubungan, karnival ini juga merupakan salah satu usaha untuk menyokong pelaksanaan Bulan Sukan Negara yang akan berlangsung sepanjang Oktober 2019.

“Karnival ini akan bermula dari 26 Oktober dan berakhir pada 17 November meliputi enam sukan yang dipertandingankan iaitu golf, badminton, bola tampar, bola jaring, bowling dan futsal,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Menurut beliau, karnival tersebut bakal disertai oleh 30 buah jabatan dan agensi kerajaan meliputi penyertaan hampir 3,000 orang penjawat di seluruh negeri.

Dalam perkembangan lain katanya, kerajaan negeri juga bakal menganjurkan karnival sukan kombat pada 19 dan 20 Oktober 2019 di Aeon Big Falim.

Kata Howard, Karnival Sukan Kombat Peringkat Negeri Perak itu akan memfokuskan kepada empat sukan kombat iaitu silat, silambam, muay thai dan wushu yang melibatkan seramai 1,000 orang atlet.

“Tujuan utama karnival sukan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada atlet-atlet sukan kombat untuk mengembangkan potensi olahraga ini di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Sukan kombat juga mempunyai potensi untuk menjadi pemecah kepada tradisi dominasi oleh sesuatu keturunan terutama dengan penampilan kemajmukan bukan hanya dari segi penyertaan tetapi lebih dari itu, dimana ianya akan menghargai perpaduan yang kita kecapi pada hari ini.

“Peluang ini juga untuk memperkenalkan sukan tersebut kepada golongan kanak-kanak, remaja ataupun dewasa,” katanya.

Menurut beliau lagi, Persatuan Silat Kebangsaan Perak Persatuan Silambam Malaysia Negeri Perak, Persatuan Muaythai Perak dan Persekutuan Wushu, Singa Tarian dan Naga Perak masing-masing akan turut sama membantu dalam penyediaan atlet dan teknikal persediaan untuk menganjurkan karnival yang mana dianjurkan secara besar-besaran.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");