Perak Hari Ini

Perak Buru Bakat Baharu Untuk E-Sukan SUKMA 2020

IPOH: Kerajaan Perak bakal mengadakan Kejohanan Sukan Elektronik (e-sukan) Sukan Perak (SUPER) 2019 pada bulan hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata acara yang bakal dianjurkan bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Persatuan Sukan Elektronik Perak (ESP) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) itu merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi mencungkil bakat tempat untuk mewakili Perak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.

Katanya sebanyak tiga acara akan dipertandingkan iaitu eFootball Pro Evolution Soccer 2020 (PES2020), Mobile Legends Bang Bang dan Defense of the Ancients (DOTA) 2.

Menurut beliau, acara yang julung kali diadakan itu akan berlangsung selama empat hari bermula 21 November.

Kata Howard, bagi pusingan kelayakan dan saringan, untuk sesi pertama ia akan diadakan pada 2 November manakala sesi kedua akan berlangsung pada 3 November dan sesi seterusnya akan berlangsung pada 9 dan 10 November.

“Pada kejohanan tersebut, ‘Top 20 Open Qualifier SUPER’ akan berentap bersama-sama 12 kontinjen daerah bagi merebut kejuaraan bagi ketiga-tiga acara tersebut.

“Para pemenang Kejohanan E-Sukan SUPER 2019 akan diangkat sebagai atlet e-sukan bagi acara e-sukan SUKMA 2020 di Johor pada Julai tahun hadapan.

“Kejohanan ini terbuka kepada belia yang berumur antara 13 hingga 20 tahun kerana untuk menjadi atlet SUKMA, individu tersebut harus berumur 21 tahun ke bawah pada tahun 2020,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media Pelancaran Perintis Jelajah Integrasi E-Sukan Peringkat Sekolah dan Open Qualifier SUPER 2019 di SMK Anderson, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Howard berkata program perintis tersebut memberi fokus kepada tiga fasa iaitu pendedahan, pembentukan dan pembangunan.

“Pejabat saya dan PASAK berhasrat untuk memperluaskan program-program pendedahan e-sukan ini pada tahun hadapan kerana selain daripada SUKMA, kita juga mahu memberi fokus kepada perkembangan sukan ini.

“Jika ada ruang, kita mungkin akan memperluaskan projek perintis ini ke sekolah lain dengan sasaran untuk melibatkan juga sekolah-sekolah di luar bandar.

“Saya mahu pada penghujung tahun 2020, program ini telah berjaya diperluaskan ke semua sekolah di negeri ini,” katanya.

Sementara itu menurut Presiden ESP, Muhammad Naim Al Amin Saharudin selepas SMK Anderson, pihaknya berkemungkinan akan menyasarkan penganjuran program sama di SMK Bawong dekat Sungai Siput.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");