Berita Hari Ini

Polis Akan Terus Siasat Tak Kira DAP Atau Tidak, Kata Ayob Khan

KUALA LUMPUR: Polis Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman menafikan dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa polis tidak lagi menahan pemimpin DAP yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarahnya, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau sendiri tidak pasti dari mana Lim boleh mendapat maklumat berkenaan namun menegaskan tiada sebab pihaknya menghentikan siasatan sekiranya ada pemimpin DAP dikaitkan dengan LTTE.

“Saya tidak pasti dari mana dia dapat input. Yang pastinya bukan dari saya. Saya tidan pernah keluarkan kenyataan bahawa kita akan hentikan siasatan, tidak ada sebab kita hentikan siasatan. Kenyataan itu bukan dari saya.

“Kenapa kita perlu hentikan siasatan, adakah kerana disebabkan parti DAP, kita perlu hentikan siasatan. Tidak ada. Kita akan terus jalankan siasatan kalau ada cukup asas dan bukti,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Sebelum ini, Lim dilaporkan berkata polis memaklumkan bahawa tidak ada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan dalam operasi membanteras perkembangan gerakan LTTE di Malaysia.

Kenyataan Lim itu dibuat selepas polis menahan seorang exco kerajaan negeri Melaka, G Saminathan yang juga merupakan Adun Gadek dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran yang dikaitkan dengan LTTE.

Ayob Khan berkata, tangkapan dibuat polis bukanlah menjurus kepada segelintir pemimpin dari parti politik tertentu, khususnya DAP, tetapi menegaskan tangkapan yang dibuat adalah bersifat secara menyeluruh.

“Tangkapan ini tidak ada kaitan dengan DAP, PAS, PKR, Barisan Nasional atau sebagainya. Tangkapan dibuat kerana mereka terlibat dengan mempromosikan keganasan. Tidak kira parti mana, saya tidak akan tolak ansur, jika cukup bukti pasti akan ditahan.”

Ayob Khan juga berkata bukanlah suatu masalah dan kesalahan sekiranya terdapat individu atau pemimpin negara ini didapati bergambar dengan penyokong LTTE, hal ini kerana siasatan polis lebih menjurus kepada penglibatan bukannya sekadar bergambar.

“Kita perlu jalankan siasatan terperinci, bukan setakat bergambar. Kalau ada asas beliau sokong dan promosi, dalam konteks keganasan,” katanya.

Ayob berkata demikian ketika ditanya desakan segelintir pihak yang menggesa Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran turut ditahan kerana didakwa terlibat dengan LTTE, selepas gambarnya dengan penyokong LTTE tersebar di laman media sosial lapor FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");