Berita Hari Ini

Polis Tahan Penganggur Wanita Langgar Lari Peserta Maraton KL

PETALING JAYA: Polis menahan seorang penganggur dipercayai suspek yang terlibat dalam kes langgar lari melibatkan peserta Standard Chartered KL Marathon, Ahad lalu.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Azman Shari’at berkata, suspek wanita berusia 25 tahun itu ditangkap di perkarangan Jalan Taman Emas, Kepong pada hari sama larian berlangsung.

“Polis merampas kenderaan bernombor plat VK8854 jenis Honda City. Susulan daripada itu, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dilaporkan, seorang pelari maraton berkenaan cedera parah selepas sebuah kereta merempuh penghadang keselamatan dan melanggar beberapa peserta.

Menurut Azman, polis turut menemui 6 foil dipercayai dadah jenis Eremin-5 sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas suspek.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek tidak ada rekod jenayah namun mempunyai satu rekod saman kemalangan jalan raya yang masih belum dijelaskan,” katanya.

Jelasnya, spesimen darah suspek wanita itu dibuat di Hospital Ampang untuk dihantar analisis ujian darah di Jabatan Kimia lapor FMT.

Azman berkata, suspek disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dan disiasat bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak syarikat sewa kereta turut tampil membuat laporan polis dan memaklumkan memberi sewa kenderaan bernombor plat VK8854 jenis Honda City berwarna putih kepada suspek. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");