Perak Hari Ini

PPPNP Serah 170 Anak Pokok Durian Musang King Kepada 3 Kampung Orang Asli

TAPAH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) menyerahkan 170 anak pokok durian Musang King kepada tiga buah kampung masyarakat Orang Asli di sini, hari ini.

Kampung yang terlibat ialah Kampung Batu 13 ½, Kampung Batu 14, dan Kampung Batu 14 ½ yang membabitkan 93 orang keluarga.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata inisiatif tersebut amat baik kerana ia secara tidak langsung dapat menambah hasil pendapatan kepada penduduk setempat.

“Kita tahu yang walaupun mempunyai modal namun, bukan mudah untuk memperolehi anak pokok durian Musang Kini ini. Dengan bantuan PPPNP, kita amat mengalu-alukan usaha ini.

“Kita berharap dengan penanaman pokok itu di kampung-kampung terlibat, ia mampu menjana pendapatan kepada mereka dalam jangka masa tiga ke empat tahun lagi,” katanya.

Beliau yang juga Adun Chenderiang berkata walaupun penduduk setempat ada menanam pelbagai tanaman lain namun kebanyakan mereka masih bergantung kepada hasil sumber-sumber hutan, selain bekerja di bandar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Anak Pokok Durian jenis Musang King di Kampung Batu 14, Jalan Pahang di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.

Terdahulu Menteri Besar dalam ucapannya berkata menerusi usaha oleh PPPNP itu diharap agar hubungan antara agensi kerajaan negeri dengan masyarakat setempat akan menjadi lebih erat.

Malah beliau turut menyeru agar mereka dapat menggunakan hasil daripada penanaman anak pokok durian Musang King itu dengan baik dalam membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan masyarakat.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Batu 14, Salim Bah Badan menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar dan PPPNP dalam usaha tersebut.

Ujarnya, secara purata pendapatan kesemua keluarga di kampungnya adalah sekitar RM300 ke RM400 sebulan.

Namun jelasnya ada kalanya pendapatan yang diperolehi tidak menentu kerana terlalu bergantung kepada hasil sumber hutan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");