Perak Hari Ini

Pusat Khidmat Ipoh Timur, Canning Ambil Inisiatif Akan Serah Lebih 700 Tong Sampah Percuma

IPOH: Dalam usaha menyelesaikan isu longgokan sampah haram di sekitar Kampung Simee, dekat sini, Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Pejabat Pusat Khidmat Adun Canning, akan menyerahkan lebih 700 tong sampah kepada setiap rumah di kawasan tersebut secara percuma.

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh berkata inisiatif yang mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu turut akan melibatkan sekitar 100 buah premis kedai di kawasan yang sama.

Katanya tong sampah untuk setiap rumah itu berkapasiti 120 liter manakala untuk premis kedai berkapasiti 240 liter.

“Kedua-dua pejabat wakil rakyat ini telah memperuntukkan lebih kurang RM100,000 untuk membeli kesemua tong sampah itu yang mana ia berkapasiti 120 liter untuk 750 isi keluarga di Kampung Simee.

“Ini merupakan projek pertama yang mana kami berharap ia boleh diikuti oleh mana-mana kawasan lain yang mungkin masih dalam perancangan.

“Untuk ini, setiap rumah akan diberikan sebuah tong sampah secara percuma dan setiap tong sampah itu akan dilabel dengan nombor rumah, bagi mengelakkan sebarang isu kecurian ataupun penyalahgunaan tong sampah itu,” katanya.

Jelasnya, penyerahan kesemua tong sampah itu akan dilakukan pada 13 Oktober ini dalam satu majlis di SJK (C) Chung Tack yang mana Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dijadualkan hadir.

Katanya inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan penduduk setempat terhadap kepentingan penjagaan kebersihan di kawasan setempat.

“Di Kampung Simee ini terdapat tujuh lorong dan kita juga dapati terdapat sekitar 14 kawasan longgokan sampah haram,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Simee, di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya selain daripada kekurangan kesedaran sivik, tindakan sesetengah pihak kontraktor yang tidak mengutip sisa pukal dan sisa kebun juga antara punca kepada masalah wujudnya kawasan longgokan sampah haram di Kampung Simee.

Pada masa sama, Adun Canning, Jenny Choy Tsi Jen berkata pada majlis penyerahan tong sampah itu nanti, terdapat beberapa acara sampingan menarik yang akan berlangsung antaranya acara cabutan bertuah.

Katanya, 200 individu pertama yang mendaftar untuk mendapatkan tong sampah berkenaan di Wisma Impian Kampung Simee bakal memenangi hadiah misteri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");