Membawang Hari Ini

Raihan, Alif Satar Bakal Berduet Lagi

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Alif Satar dan kumpulan nasyid terkenal, Raihan, berhasrat meneruskan projek duet mereka selepas lagu Sesungguhnya 2019 meraih kejayaan membanggakan apabila video muziknya sehingga kini mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube.

Bagaimanapun, kedua-dua artis terbabit belum bersedia berkongsi lebih lanjut mengenai perancangan duet terbaru, selain memberikan bayangan ia akan menemui peminat sekitar bulan puasa tahun depan.

“Insya-Allah, kalau diizinkan Tuhan, sebuah lagu duet kami bersama Alif dijangka hadir pada Ramadan tahun depan,” kata anggota Raihan, Abu Bakar Md Yatim.

Sebelum itu, peminat akan terlebih dahulu dapat berhibur bersama mereka apabila kedua-duanya bergabung menjayakan konsert amal, Countless Blessing, di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara, pada 2 November depan.

“Alhamdulillah, aturan Tuhan begitu cantik. Bermula dengan projek duet Sesungguhnya 2019, ruang lebih besar untuk kami terus bekerjasama makin terbuka.

“Saya sendiri amat teruja untuk menjayakan konsert ini kerana ia bukan persembahan biasa. Ia memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Selain konsert, sebenarnya ada beberapa lagi tawaran untuk saya dan Raihan bekerjasama. Namun, semuanya masih dalam perbincangan,” kata Alif ketika ditemui pada sidang media konsert terbabit di pusat beli belah terkemuka di ibu kota, hari ini.

Konsert anjuran Philandure dan Komited Malaysia itu diadakan bagi mengumpul dana untuk enam pertubuhan terpilih.

Sebelum ini, pada siri jelajahnya di premis hiburan Hard Rock Cafe, di sini, Alif juga mengundang kumpulan yang turut dianggotai oleh Che Amran Idris dan Amran Ibrahim itu mengadakan persembahan dengannya.

Sementara itu, Abu Bakar menyambut baik inisiatif penganjur menyatukan Raihan dan Alif dalam konsert amal berkenaan.

“Dalam hidup ini, ruang untuk berbuat baik sentiasa terbuka, tidak kira dalam bidang apa sekali pun, termasuk hiburan.

“Kami pula sangat menghargai peluang diberikan untuk berkongsi pentas dengan artis generasi baharu berbakat besar, seperti Alif.

“Pastinya, konsert ini bukan semata-mata untuk berhibur dan beramal, malah akan ada kelainan bakal dihidangkan. Kita tunggu sahaja apabila ia berlangsung nanti,” katanya.

Tiket menyaksikan persembahan mereka boleh didapati dengan melayari www.myticket.asia, bermula esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");