Sukan Hari Ini

Rakan Baharu Lonjak Semangat Luqman

PENYERANG prolifik skuad bawah 18 tahun (B-18) negara, Luqman Hakim Shamsuddin teruja dengan kehadiran sembilan muka baharu menjalani latihan pusat pasukan itu bermula Sabtu lalu.

Menurutnya, kehadiran pemain terbabit memberi lebih pilihan buat ketua jurulatih, Brad Maloney membuat persiapan bagi menghadapi pusingan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Phnom Penh, Kemboja dari 31 Oktober hingga 11 November depan.

Katanya, pemain terbabit daripada pasukan negeri beraksi dalam Piala Malaysia dan Piala Belia serta memiliki kelebihan tersendiri yang boleh memperkuatkan pasukan B-18.

“Muka baru dalam skuad B-18 ada sembilan orang dan saya akan berusaha menyesuaikan diri dengan mereka. Bagi saya mereka juga ada kebolehan dan prestasi yang bagus. Jadi saya tidak boleh pandang rendah, sebaliknya anggap kami semua sama saja,” katanya ketika ditemui di sini, lapor Harian Metro.

Luqman Hakim seorang daripada 32 pemain dipanggil Maloney ke kem latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 28 September lalu selepas mempamer aksi hebat termasuk menjaringkan dua gol ketika membantu Malaysia menewaskan Australia 3-0 dalam Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) B-18 di Ho Chi Minh, Vietnam, Ogos lalu.

Pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang muncul penjaring terbanyak Kejuaraan AFC B-16 pada 2017 itu berkata, dia dan rakan sepasukan kini fokus kepada latihan pusat.

Katanya, dia yakin Malaysia mampu menyaingi pasukan lain dalam kumpulan G iaitu Brunei, Kepulauan Mariana Utara, Thailand dan tuan rumah, Kemboja dan tidak gusar jika menjadi sasaran pertahanan lawan dengan reputasinya selaku penggempur berbisa.

“Saya rasa tiada halangan bagi saya dan pasukan untuk lakukan yang terbaik dan berharap Malaysia akan layak. Namun, kita tidak boleh ambil mudah cabaran pasukan Kemboja dan Thailand.

“Walaupun kita pernah bermain dalam kejohanan AFF, kedua-dua pasukan ini adalah kuat,” katanya. Malaysia dijadual bertemu Kemboja pada 2 November depan diikuti Brunei (6 November), Kepulauan Mariana Utara (8 November) dan Thailand pada 10 November.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");