Perak Hari Ini

Remaja Tembak Kepala Monyet Dihadapkan Ke Mahkamah

IPOH: Seorang lelaki berusia 19 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian menembak kepala seekor monyet yang terkurung dalam sangkar sehingga mati pada Mei dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan penderitaan dan kesakitan terhadap seekor monyet yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Ekoran itu tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 86(1) (f) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang mana jika disabit kesalahan dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan dilakukan pada 15 Mei di Kampung Lambor Kiri, dekat Perak Tengah dan dia telah dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 5 Ogos lalu.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Munirah Zainal Abidin dan Noraina Ridzwan manakala tertuduh diwakili seorang peguam.

Dalam prosiding tersebut, daripada 11 orang saksi, hanya seorang sahaja dipanggil, iaitu Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman, Inspektor Mohd Shamm NazFadley NasirShamm NazFadley Nasir bagi memberi keterangan.

Walau bagaimanapun, Mahkamah diberi tahu bahawa dokumen daripada Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) masih belum diterima.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 4 November sebagai tarikh bagi mendapatkan status maklumat berkaitan dokumen tersebut.

Sebelum ini satu rakaman video berdurasi 20 saat menjadi tular yang memaparkan seorang lelaki menembak seekor monyet dalam sangkar kerana enggan bercakap ‘baby sayang’.

Menerusi rakaman video, lelaki itu mengugut dan menyuruh seekor monyet bercakap perkataan ‘baby sayang’ dan menembak monyet itu kerana tidak berbuat demikian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");