Perak Hari Ini

Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak Akan Diadakan Di 10 Daerah

IPOH: Kerajaan Perak akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka bersempena sambutan Perayaan Hari Deepavali 2019 peringkat negeri di 10 daerah secara berperingkat bermula esok sehingga 11 November.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata antara daerah atau kawasan yang terlibat ialah di Selingsing, Titi Serong, Slim River, Hutan Melintang, Bagan Datuk dan Selama.

Katanya daerah pertama yang akan dianjurkan acara tersebut ialah di Bidor, di daerah Batang Padang.

“Saya sudah cadangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang mana oleh kerana kita ada sambutan Perayaan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan yang mana Perdana Menteri dijadualkan hadir, saya berpandangan kita tidak perlu mengadakan majlis sama peringkat negeri.

“Namun, kita akan menggunakan peruntukan sama untuk mengadakan acara Rumah Terbuka Perayaan Hari Deepavali di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Kawasan-kawasan ini dipilih selepas kita merasakan kebanyakan masyarakat di kawasan itu agar sukar datang ke Ipoh yang mungkin disebabkan beberapa faktor seperti kos dan jarak perjalanan,” katanya yang menjelaskan cadangannya itu telah diluluskan.

Ujarnya lagi, beliau juga mencadangkan agar kerajaan negeri akan dapat mengadakan acara sedemikian di kawasan pekan-pekan kecil pada masa akan datang.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Sivanesan berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019 yang akan diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 16 November nanti.

Semalam dilaporkan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Isham Ishak berkata seramai 15,000 pengunjung dijangka hadir pada majlis tersebut yang akan diserikan pelbagai acara kebudayaan.

Katanya ia sebagai memberi gambaran kepada pengunjung terutamanya pelancong luar negara berkenaan kepelbagaian budaya di negara ini menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");