Panasnya Hari Ini

‘Saya Tidak Tahu-menahu’

MUAR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tidak tahu-menahu mengenai ada usaha menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) seperti digemburkan sesetengah pihak.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini kerana bagi saya rakyat yang akan menentukan kerajaan baharu (melalui pilihan raya) dalam tempoh lima tahun dan ini adalah proses demokrasi yang sudah kita amalkan sejak dari merdeka.

“Setiap lima tahun kita adakan pilihan raya, serah mandat kepada rakyat dan rakyat akan menentukan siapakah kerajaan yang akan dibentuk dan siapakah yang akan pimpin kerajaan berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2019 dan Sambutan 70 Tahun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini, lapor BH Online.

Beliau berkata, tidak perlu sesiapa pun terlalu gelojoh untuk melakukan sesuatu dalam tempoh satu atau dua tahun ini kerana demokrasi sudah menentukan proses itu akan dikembalikan kepada rakyat dalam tempoh lima tahun.

“Sekarang adalah tempoh kita bangunkan Malaysia yang sudah rosak sejak sekian lama.

“(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) bekerja kuat dengan pasukan Kabinet untuk memastikan mandat yang diberikan rakyat pada tahun lalu itu dapat diterjemah dalam bentuk kerja yang dapat mengangkat martabat rakyat Malaysia.

“Jadi, saya berharap tidak ada mana-mana pihak yang terlalu bercita-cita tinggi atau mengganggu perjalanan atau pentadbiran Dr Mahathir.

“Ini supaya mandat itu dapat dihormati dan diberikan peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan kerja mereka,” katanya.

Baru-baru ini timbul desas-desus kononnya ada komplot yang dikaitkan dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang berusaha menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Hishammuddin menafikan dakwaan itu manakala Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga menegaskan parti itu tidak terbabit.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");