Perak Hari Ini

‘Sayang Anak Tangan-tangankan….’: Ibu Bapa Harus Ambil Iktibar

IPOH: Kejadian kematian lapan remaja berbasikal lajak pada Februari 2017 di Johor kembali menjadi topik hangat perbualan orang ramai.

Ia susulan keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru yang membebaskan seorang wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian tersebut.

Media tempatan melaporkan pada sepanjang perbicaraan yang bermula Ogos 2017, 46 saksi pendakwaan dan 214 ekshibit telah dikemukakan di mahkamah.

Dalam pada itu, rata-rata orang ramai senada dengan Majistret Siti Hajar Ali yang mana para ibu bapa diingatkan untuk sentiasa menjaga anak mereka bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Mohd Sufian Mohd Nasser, 33, berpandangan bahawa kejadian tersebut harus menjadi pengajaran buat ibu bapa pada masa kini selain mengambil iktibar daripada peribahasa Melayu ‘Sayang anak tangan-tangankan….’

“Ibu bapa harus peduli dengan perkembangan anak. Mereka seharusnya peka tentang segala gerak-geri anak mereka dan sentiasa tahu ke mana dan di mana anak mereka terutamanya ketika berada di luar waktu persekolahan.

“Tetapkan waktu-waktu tertentu untuk mereka berada di rumah. Jangan terlalu membiasakan anak-anak ini terutama yang masih bersekolah untuk keluar pada waktu malam,” katanya kepada PerakToday, di sini, hari ini.

Selain itu, bagi Norsiah Muhammad Ali, 32, para ibu bapa seharunya menjadi rakan karib kepada anak-anak mereka sendiri.

Menurutnya, dengan perkembangan teknologi masa kini dan kesibukan waktu bekerja seharusnya tidak menjadi alasan untuk mereka tidak mengambil peduli tentang keadaan anak kerana ia adalah tanggungjawab hakiki seorang ibu bapa.

“Ibu bapa kena kenal dengan siapa anak mereka berkawan dan latar belakang kawan anak mereka.

“Kita kena ambil berat hal ini kerana apabila kita dapat berbuat demikian, ia dapat membendung sebarang unsur negatif dan tidak sihat daripada mempengaruhi diri anak kita,” katanya.

Tambahnya, didikan anak pula harus bermula dari rumah menerusi ketegasan ibu bapa selain mengikuti perkembangan arus semasa.

Sementara itu, menurut Siti Norizan Ahmad Ghanny, 41, aktiviti berbasikal lajak yang kebiasaannya menjadikan jalan raya sebagai ‘taman permainan’ adalah satu aktiviti yang mengundang bahaya bukan sahaja kepada remaja yang terlibat malah boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang menggunakan jalan sama.

Beliau yang juga seorang guru mengesyorkan agar selain daripada ibu bapa, pihak komuniti atau masyarakat setempat juga harus memainkan peranan penting dalam usaha membendung kegiatan tidak sihat tersebut.

“Kalau dilihat pada gaya dan lagak mereka membonceng basikal sangat berbahaya malah, ada yang meniru aksi ‘Superman’.

“Jika kita tonton pada video-video di media sosial yang tular, remaja ini ada kalanya seolah-olah dengan berani bersaing dengan kenderaan besar yang lain.

“Sekiranya aktiviti ini tidak dibendung, besar kemungkinan mereka yang terlibat ini akan mula cenderung kepada aktiviti perlumbaan motosikal haram apabila dewasa kelak.

“Kita kena ambil sikap ‘anak orang anak kita juga’. Jika kita sedar adanya aktiviti seperti itu berlaku di kawasan persekitaran, kita harus membendungnya dengan apa cara sekali pun, termasuk melaporkannya kepada pihak polis,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");