Berita Hari Ini

‘Sebelum Perbicaraan, Tiada Siapa Pertikai Ketulenan Tandatangan Najib’

Syarikat-syarikat yang didakwa terlibat dalam proses pemindahan RM42 juta daripada SRC International sehingga ia sampai ke akaun AmBank Najib Razak “semua agak gembira”, sehinggalah bekas perdana menteri itu didakwa di mahkamah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Ketika penghujahan pendakwaan, DPP V Sithambaran berkata hanya Najib yang mempertikai ketulenan tandatangannya yang membenarkan pemindahan RM32 juta keluar dari akaunnya pada Disember 2014 dan Februari 2015.

Malah pada ketika itu pun, katanya, isu tandatangan Najib hanya berbangkit kemudian (afterthought) kerana Najib tidak pernah membuat apa-apa rungutan berkenaan perkara itu sebelum perbicaraan.

Kata Sithambaran lagi, pemindahan RM42 juta daripada SRC International dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) menggunakan tandatangan elektronik (e-signature), atau menurut pendakwaan tanda tangan ‘cut and paste‘, tidak pernah dipertikai syarikat itu.

“Bank dibenarkan untuk menerima tanda tangan seumpama itu selaras dengan surat perlindungan (letter of indemnity) dan disahkan oleh (bekas pengurus perhubungan AmBank) Joanna Yu.

“Tidak pernah ada apa-apa dakwaan berkenaan kemasukan atau pengeluaran wang yang salah daripada SRC International dan GMSB berdasarkan tandatangan ‘cut and paste‘ ini.

“Kegagalan mempertikai tandatangan ‘cut and paste‘ ini ialah pengakuan oleh syarikat tersebut bahawa transaksi dana jutaan ringgit dibuat dengan kebenaran dan autoriti setiap syarikat.

Sehingga hari ini, pemindahan jutaan ringgit ini tidak dicabar oleh SRC dan GMSB. Hanya tertuduh yang mempertikai tandatangan ketika perbicaraan.

“Tiada siapa yang mengambil tindakan dan semua agak gembira, sehinggalah perbicaraan ini bermula. Saya menganggap ini tidak lebih sekadar afterthought (hal yang difikirkan kemudian),” katanya.

‘Wang telah digunakan’

Pihak pendakwaan juga menyangkal dakwaan pembelaan bahawa Jho Low mungkin memalsukan tandatangan Najib di dokumen bank, yang berkaitan dengan ‘transaksi terbalik’ kepada Permai Binaraya Sdn Bhd (Rm37 juta) Putra Perdana Construction Sdn Bhd (RM5 juta).

Ketika pemeriksaan balas dengan Yu, pihak pembelaan cuba menunjukkan Jho Low sebagai perancang untuk menterbalikkan transaksi sebanyak RM32 juta itu.

Sithambaran berhujah yang Najib tahu tentang transaksi itu kerana penyata bank diberikan kepada pemegang mandat akaunnya (Nik Faisal Ariff Kamil) tetapi bank tidak disaman kerana membuat silap transaksi.

“Malah ketika tertuduh menutup akaunnya pada Mac 2015, dia tidak bertanya kepada bank berkenaan RM32 juta yang ‘hilang’ dari akaunnya.

“Maka tertuduh tidak boleh mengubah pendiriannya – dengan berkata ia adalah (transaksi) ‘reversal’ tetapi pada satu ketika berkata dia tidak tahu apa-apa kerana tidak menandatangani P277 (dokumen berkaitan).”

Mahkamah juga diberitahu yang wang yang dikatakan masuk ke akaun Najib daripada keluarga diraja Saudi telah habis digunakan sebelum RM42 juta daripada SRC International masuk ke akaun itu.

Menurut Sithambaram, keterangan Yu mengesahkan bahawa sejumlah RM160 juta yang dimasukkan ke akaun Najib dengan nombor akhir 880 telah digunakan sepenuhnya sebelum 30 September 2014.

Akaun sama memiliki baki RM848,242.89 pada 26 Disember 2014, sebelum sejumlah RM27 juta daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd dimasukkan ke akaun itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");