Perak Hari Ini

Seru Semua Pihak Mantapkan Penguasaan Bahasa Melayu

IPOH: Semua pihak diseru agar dapat bersama-sama berusaha ke arah memantapkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan di negara ini khususnya dalam kalangan muda.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata segala perbezaan politik harus diketepikan bagi menjayakan usaha itu dalam ke arah kemajuan generasi akan datang.

Katanya penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar akan membolehkan mereka mengakses peluang pekerjaan yang berkualiti.

Ujarnya penguasaan dalam bidang bahasa harus menjadi prasyarat atau keutamaan bagi mereka untuk mendapat pekerjaan agar kepentingan bahasa sentiasa terpelihara dan menjadi wadah kehidupan yang utama.

“Dalam pada itu, kita tidak menafikan bahawa kelemahan dalam mengusai Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa menjadi penyekat kepada siswazah tempatan untuk memasuki pasaran kerja.

“Kerana itulah Kementerian telah melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Ia bagi memastikan generasi muda di Malaysia cekap dalam penggunaan Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa pada masa kini.

“Oleh demikian kita hendaklah berwaspada terhadap imperialisme Bahasa Inggeris ini yang mana jika tidak diurus dengan baik, ia akan menyebabkan terpinggirnya Bahasa Melayu di tanah watannya,” katanya.

Tambahnya lagi, dasar MBMMBI diwujudkan bagi memastikan aspek budaya ekologi linguistik negara dapat diwarnai dengan penguasaan Bahasa Inggeris.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan wakilnya Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Suhaimi Sun Abdullah pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu SJK (C) dan SJK (T) Piala Perpaduan Perdana Menteri di MH Hotel, di sini, malam tadi.

Seramai 105 murid dan guru daripada 15 kontinjen seluruh negara berkampung di Ipoh selama tiga hari bermula 15 Oktober bagi menyertai pertandingan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali dalam ucapannya berkata pertandingan sedemikian dilihat mampu memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar SJK (C) dan SJK (T) yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan negeri.

“Matlamat pertandingan ini adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar SJK (C) dan SJK (T) serta mencungkil bakat dan potensi mereka ke arah kemenjadian murid,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");