Berita Hari Ini

‘Sesiapa Saja Boleh Bermimpi’ – Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yakin peralihan kuasa yang dijanjikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan diteruskan seperti perancangan awal walaupun menyedari ada orang lain berhasrat menggantikannya.

Dalam temu bual bersama media Turki, TRT World, Presiden PKR itu mengakui ada mendengar spekulasi mengenai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mahu memegang jawatan tertinggi pentadbiran negara itu.

Bagaimanapun, sehingga mesyuarat pemimpin parti minggu lalu, jelas Anwar, tiada nama lain dibangkitkan sebagai pengganti Dr Mahathir.

“Bukan satu jenayah bagi sesiapa sahaja bercita-untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi beliau perlu mendapat sokongan majoriti Parlimen.

“Setakat ini dalam pertemuan minggu lalu dalam kalangan pemimpin parti, tidak ada pertimbangan nama lain mengisi jawatan Perdana Menteri.

“Sesiapa sahaja boleh bermimpi, boleh bercita-cita, tetapi itu tidak bermakna anda akan menggoncang atau merosakkan proses itu.

“Ia sudah dipersetujui dan ditandatangani, maka anda perlu membatalkan proses itu. Setakat ini tidak ada usaha atau inisiatif membatalkan pelan peralihan kuasa itu,” katanya.

Ditanya sama ada Mohamed Azmin sendiri menyatakan mahu menjadi Perdana Menteri, Anwar berkata, ia bukan dinyatakan oleh Timbalan Presiden PKR itu.

“Sebahagian daripada spekulasi itu datang daripada pihak Azmin dan penyokongnya tetapi ia tidak akan mengalihkan perhatian kita daripada tugas utama membangunkan ekonomi untuk rakyat,” katanya.

Optimis dengan peralihan kuasa yang diasaskan itu, Anwar berkata, keputusannya untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir dibuat berasaskan kepercayaan dan mempertimbangkan kepentingan negara melebihi keutamaan peribadi.

“Ini bukan sekadar isu Dr Mahathir atau Anwar atau peribadi, sebaliknya keputusan majoriti Parlimen. Ini keputusan sistem dan setakat ini tiada perubahan (peralihan kuasa),” katanya.

Dalam temu bual itu, Anwar turut menyatakan komitmen pihaknya memansuhkan Akta Hasutan 1948 tetapi mengakui berdepan cabaran untuk berbuat demikian.

“Ini adalah komitmen saya, parti dan dimasukkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Cuma kita ada masalah dari segi naratif, ada kebimbangan dalam kalangan orang Melayu bahawa ini akan membuka ruang orang menjejaskan kedudukan Melayu, bahasa Melayu atau kedudukan raja,” katanya.

Anwar bagaimanapun menolak kebimbangan itu kerana negara mempunyai undang-undang mencukupi untuk menangani fitnah dan hasutan.

“Kita tidak memerlukan langkah yang dianggap zalim terhadap mereka kerana menyuarakan pandangan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");