Berita Hari Ini

Siap Sedia Lebih Awal Hadapi Tengkujuh

MARANG: Pelbagai persiapan awal dilakukan pengusaha pelancongan di Pulau Kapas dan Pulau Gemia, di sini bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan, termasuk membina benteng pasir dan pemecah ombak di kawasan premis masing-masing.

Difahamkan, dua daripada 20 chalet yang terdapat di Pulau Kapas, selain semua chalet di Pulau Gemia sudah menghentikan sementara operasi mereka sejak seminggu lalu berikutan cuaca tidak menentu.

Mohamad Nor Amirudin Yahya, 30, berkata dia bersama rakan sekerjanya membina benteng pasir di hadapan chalet bagi memastikan ombak tidak menjejaskan pelbagai kemudahan di premis berkenaan.

“Sudah 10 tahun kami beroperasi di Pulau Kapas dan sentiasa bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi musim tengkujuh. Kami mungkin hanya berada di di sini sehingga akhir Oktober dan persiapan perlu dibuat segera sebelum meninggalkan pulau.

“Jika berlaku air pasang besar berserta dengan ombak dan angin kuat, arus air boleh memusnahkan segala kemudahan di chalet ini,” katanya yang bertugas di Pok Ya Sea View Kapas, di sini.

Pengusaha pelancongan, Ahmad Ikhwan Abdullah, 22, berkata ketibaan musim tengkujuh adalah untuknya dan rakan setugas lain di Pulau Kapas berehat.

“Biasanya, semua operasi chalet termasuk perkhidmatan bot ke pulau turut dihentikan bermula November hingga Mac. Sepanjang Disember hingga Januari ialah tempoh kemuncak air pasang besar dan angin kencang. Maka, pergerakan keluar masuk ke Pulau Kapas terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan,” katanya.

Katanya, benteng pasir disediakan itu adalah satu-satunya inisiatif yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kerosakan pada chalet dan kedai makan di tepi pantai lapor BHarian.

“Biarpun benteng pasir tidak sepenuhnya melindungi kawasan chalet, namun ia sekurang-kurangnya boleh mengurangkan kerosakan. Biasanya bermula akhir Mac, kami akan kembali semula ke pulau untuk memulakan operasi seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata fenomena monsun timur laut dijangka bermula pertengahan bulan depan dan berlanjutan sehingga Mac 2020.

“Laporan Jabatan Mateorologi Terengganu menyatakan Terengganu kini berada dalam tempoh fasa peralihan monsun itu. Justeru, saya berharap semua pihak, termasuk pengusaha pelancongan di kwasan pulau bersiap sedia menghadapinya dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");