Berita Hari Ini

Sidang Tak Cukup Korum: Bubar Saja Parlimen, Kata Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang hari ini mencadangkan Parlimen dibubarkan gara-gara ramai anggota parlimen tidak menghadiri perbahasan yang berlangsung di Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata kegagalan anggota parlimen PH untuk berada dalam dewan semasa perbahasan Belanjawan 2020 menunjukkan mereka tidak berminat dengan apa yang disampaikan.

Malah Ismail Sabri berkata, apa yang berlaku pada hari ini adalah “sejarah hitam” dan detik “malang” buat parlimen apabila speaker terpaksa membunyikan loceng untuk mencukupkan korum.

“Hari ini peristiwa malang dan saya kira sejarah hitam bagi Parlimen sesi ini apabila 26 daripada 222 orang (anggota parlimen) pun tak ada dalam Dewan Rakyat hingga memaksa (speaker) petik loceng panggil.

“Seolah-olah menteri dan anggota parlimen PH tidak berminat dengan Dewan Rakyat.

“Kalau dah tak berminat dengan perbahasan dalam Dewan Rakyat, saya cadangkan bubar sahajalah parlimen.

“Kita pilih anggota parlimen yang baru, yang lebih berminat untuk hadir berbahas,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Menurut naib presiden Umno itu lagi, kekurangan korum semasa belanjawan dibahaskan adalah sesuatu yang serius, apatah lagi jumlah minimum yang diperlukan hanya 26 orang.

Untuk rekod sidang Dewan Rakyat hari ini terpaksa ditangguhkan selama 10 minit – mulai jam 4.05 petang – apabila jumlah anggota parlimen yang hadir tidak mencukup syarat yang ditetapkan.

Ketika itu Steven Choong (PH-Tebrau) sedang menyampaikan perbahasannya. Sejurus kemudian Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangkit untuk memaklumkan kepada speaker mengenai kekurangan korum.

Pemberitahuan itu mendorong Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, yang sedang mengawasi perbahasan membunyikan loceng.

Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang baru berlaku pada penggal ini.

Sebelum ini kejadian seumpama itu pernah berlaku beberapa kali dan memaksa speaker membunyikan loceng bagi mengarahkan anggota parlimen memasuki Dewan Rakyat.

 Keadaan Dewan Rakyat semasa ia ditangguhkan seketika kerana kekurangan korum petang tadi.

Menurut Ismail Sabri kecenderungan anggota parlimen PH untuk tiada dalam dewan bermula sejak Isnin lagi apabila – pada hari berkenaan – hanya Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang ada untuk mendengar perbahasan.

Pada Selasa dan Rabu, kata Ismail Sabri, hanya ada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, dalam Dewan.

Bagaimana ketika disoal kehadiran wakil rakyat pembangkang yang turut menyumbang kepada kekurangan korum itu, Ismail Sabri berkata ia tidak begitu penting kerana keberadaan anggota parlimen kerajaan perlu diberi keutamaan lapor MKini.

“Saya tak tahu, tapi waktu saya menjadi kerajaan dulu, yang penting adalah (wakil) kerajaan mesti ada dalam dewan.

“Pembangkang dulu pun (sebelum PRU ke-14) datang dan pergi saja, sebab belanjawan ini dibentangkan oleh menteri kewangan.

“Maknanya mereka (kerajaan) sepatutnya ada dalam dewan untuk mendengar hujah daripada pihak pembangkang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");