Perak Hari Ini

Sultan Perak Rasmi Sistem SafeWhere Untuk Tujuh Kampung Orang Asli Di Tapah

TAPAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan pemasangan 10 sistem rawatan air lapangan SafeWhere di Kampung Batu 14, Jalan Pahang, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim serta Raja Kecil Sulong, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah.

Keberangkatan Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Abu Seman serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Dr Juli Edo.

Pemegang Amanah Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS), Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dalam sembah ucapannya berkata sistem rawatan air tersebut merupakan sumbangan daripada pihaknya.

Katanya, inisiatif yang mula beroperasi sejak 7 September lalu itu telah membekalkan air terawat kepada tujuh buah kampung masyarkat Orang Asli, dan telah memberi manfaatkan kepada lebih 1,100 orang penduduk.

Jelasnya, selain daripada Kampung Batu 14, di sini, antara kampung lain yang terlibat ialah, Kampung Batu 15, Kampung Batu 16, Kampung Batu 17 Sekam Bawah, Kampung Batu 17 Landing Zone, Kampung Batu 19 dan Kampung Batu 20.

Ujarnya lagi, kesemua kampung tersebut dipilih selepas pihak Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang mendapati terdapat keperluan buat masyarakat tempatan mendapatkan air terawat.

Jelasnya hal ini kerana mereka hanya bergantung kepada air semula jadi yang mampu terdedah kepada risiko penyakit bawaan air.

“Pemasangan 10 unit rawatan air berkuasa solar, yang dibangunkan IMARET dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu mengambil tempoh masa lima minggu untuk disiapkan.

“Ia juga melibatkan dana keseluruhan bernilai RM1.1 juta termasuk kos penyelengaraan selama 10 tahun.

“Inisiatif YSAS dengan kerjasama IMARET dan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang dalam membekalkan air terawat untuk komuniti Orang Asli turut membabitkan pembinaan empangan mini di Kampung Orang Asli Batu 17 Sekam Bawah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Koordinator IMARET Dr Ahmad Munawar Helmi Salim dalam sembah ucapannya berkata, Sistem SafeWhere atau ‘Safe Water EveryWhere’ yang pertama telah dibina di Dabong, Kelantan pada tahun 2015

“Sistem SafeWhere juga dibina di Hutan Rekreasi Gunung Belumut, Kluang Johor pada tahun 2018 di mana masalah jangkitan kencing tikus menjadi isu utama sehingga Hutan Rekreasi ditutup.

“Alhamdulillah, setelah sistem SafeWhere dibina, Hutan Rekreasi Gunung Belumut dibuka semula untuk kunjungan orang ramai,” katanya.

Tambahnya lagi, sistem rawatan air yang sama juga turut dipasang di Kem Pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh serta di empat kampung dan hunian sementara buat mangsa gempa di Palu, Sulawesi, Indonesia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");