Perak Hari Ini

Sultan Perak Rasmi SM Sains Tapah

TAPAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan Sekolah Menengah (SM) Sains Tapah, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah

Keberangkatan Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Keberangkatan Sultan Nazrin ke majlis berkenaan adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda pada bulan hadapan.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam teks sembah ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Ahmad Rafee Che Kassim, berkata Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan kuota 60 peratus kepada pelajar dari keluarga B40 untuk kemasukan Sekolah Penuh (SBP).

Katanya ia sebagai langkah untuk memberi peluang kepada keluarga dalam kalangan tersebut untuk merasai suasana pembelajaran yang terancang dan sempurna bagi mengembangkan potensi murid yang cemerlang.

“Setiap daripada kita adalah pendidik dan kita mesti menggalas tanggungjawab ini bersama-sama demi masa depan negara.

“Saya mengambil peluang ini menyeru kepada ibu bapa agar senantiasa merebut peluang melalui pendidikan yang mampu merubah kehidupan masa depan anak-anak kita.

“Saya sarankan para pelajar, guru-guru malahan ibu hapa agar sentiasa memberi nilai tambah kepada diri sendiri dengan terus belajar dan menambah pengetahuan supaya kita semua akan terus relevan dengan perubahan dan peredaran zaman” katanya.

Di samping itu, beliau turuy menyeru kepada pihak komuniti dan swasta agar turut sama membantu ke arah meningkatkan lagi kecemerlangan akademik, sahsiah dan modal insan yang selaras dengan falsafah Pendidikan Negara.

Menyentuh tentang SM Sains Tapah, beliau berkata sekolah yang terletak kira-kira 4.5 kilometer daripada Pekan Tapah itu siap dibina pada 29 Ogos 2009 dengan menelan kos sebanyak RM 38.48 juta.

Dibina di atas tanah berkeluasan 30 hektar, katanya SM Sains Tapah dilengkapi dengan, 30 bilik darjah, dua blok asrama, dewan dan kemudahan asas lain.

“Sekolah ini mula menerima pendidik warga pada 1 Februari 2010 dan kemasukan pelajar pada 14 April 2010.

“Pada tahun 2019, pelajar sekolah di sekolah ini adalah seramai 755 orang, 66 orang guru dan 20 orang staf sokongan,” ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang 10 tahun penubuhannya, SM Sains Tapah telah berjaya menempa beberapa kejayaan antaranya telah merangkul Anugerah Khas Emas dalam Japan Design &Invention Expo 2019, Anugerah Emas dalam International Conference Of Young Scientist (ICYS) 2019 Anugerah Emas dalam International Innovation, Creativity &Technology Exhibition (12CREATE) 2019, dan Anugerah Emas dalam 8th Malaysia International Young Inventors Olympiad (Miyio).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");