Sukan Hari Ini

Syafiq Akui Berada Pada Prestasi Terbaik Karier

KUALA LUMPUR – Wira hatrik Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad mengakui bahawa beliau kini berada pada prestasi terbaik kariernya, selepas membantu skuad Harimau Malaya membelasah Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa, malam tadi.

Pemain berusia 24 tahun itu berjaya meledak gol pada minit kesembilan, 76 dan 89, selain melakukan satu hantaran silang (assist) yang membantu jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-17 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Prestasi itu menyaksikan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, muncul pemain Malaysia yang ketiga menjaringkan hatrik ke atas Sri Lanka dalam tiga pertemuan antara kedua-dua pasukan di Malaysia, selepas bekas penyerang kebangsaan, Shaharuddin Abdullah pada 1972 dan Ahmad Hazwan Bakri pada 2012.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu juga telah menjaringkan lima gol dalam tiga aksi bersama pasukan kendalian Tan Cheng Hoe, apabila menjaringkan masing-masing satu gol pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq berkata kredit harus diberikan kepada semua rakan sepasukannya dalam memastikan kemenangan bergaya Harimau Malaya pada malam tadi, sekali gus membantunya melakukan hatrik pertama dalam kariernya buat pasukan kebangsaan.

“Inilah prestasi terbaik sepanjang karier saya. Ini mungkin rezeki daripada Allah selepas saya mengalami kecederaan sebelum ini… Prestasi ini mungkin hikmah daripada kecederaan itu,” katanya kepada pemberita, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Beliau mengalami kecederaan ligamen lutut pada aksi pertama pusingan satu kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada Jun lepas, sekali gus terlepas aksi timbal balik, yang menyaksikan Malaysia mencatatkan kemenangan Agregat 12-2.

Sementara itu, mengenai aksi menentang Vietnam dalam kempen kelayakan tersebut pada Khamis ini di Stadium My Dinh, Hanoi, Muhammad Syafiq berkata beliau dan rakan sepasukannya perlu berusaha lebih keras untuk mencatat kemenangan pada aksi itu, berbanding Sri Lanka.

“Kita perlu menunjukkan karakter yang kita nak menang dengan Vietnam. Saya rasa corak permainan yang ditunjukkan oleh Sri Lanka adalah sama seperti Vietnam, iaitu bertahan… Mungkin ia akan menjadi kelebihan untuk kita jika dapat membawa momentum ini ke Hanoi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");