Sukan Hari Ini

Syafiq Buntu Tembus Benteng Pertahanan Vietnam

HANOI – Penyerang negara, Muhammad Syafiq Ahmad mengakui menemui jalan buntu dalam usaha menembusi benteng pertahanan Vietnam, yang menyaksikan Malaysia tewas 0-1 dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, semalam.

Muhammad Syafiq menjadi satu-satunya pemain negara berjaya menjelmakan percubaan berbahaya sepanjang 90 minit aksi saingan Kumpulan G itu menerusi tandukan padu pada minit ke-10.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 24 tahun itu kemudian bergelut akibat dirantai rapi jentera pertahanan skuad tuan rumah sekali gus gagal menambah koleksi dua jaringan yang dicipta masing-masing ketika berdepan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam dua aksi pertama kempen, bulan lepas.

Jelasnya, disiplin tinggi skuad Naga Emas yang turun dengan formasi lima pemain di bahagian pertahanan lebih menyukarkan situasi di dalam padang.

“Kita tahu Vietnam bermain dengan baik, mempunyai sistem pertahanan yang baik menjadikan mereka susah untuk ditembus. Saya mengaku saya agak bergelut mencari ruang untuk bermain tadi.

“Mereka (Vietnam) juga mempunyai pemain pertahanan yang baik dan bermain dengan lima pertahanan jadi memang susah untuk kita nak masuk ke dalam kawasan kotak penalti mereka,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas perlawanan itu, semalam, lapor Bernama.

Kekalahan skuad negara kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menyaksikan Vietnam mengekalkan rekod tanpa kalah menentang Malaysia di Hanoi sejak kali terakhir tewas 2-4 pada separuh akhir kedua Kejuaraan Piala AFF 2014.

Ia turut menyaksikan Vietnam mengutip kemenangan kelapan dalam 10 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan sejak 2012.

Dalam pada itu, Muhammad Syafiq menggesa rakan sepasukan melupakan kekecewaan kekalahan itu dan bangkit memburu seberapa banyak kemenangan dalam baki lima perlawanan aksi kumpulan.

“Malam ini bukan rezeki kita selepas dah cuba beri yang terbaik…kita perlu tambah usaha untuk dapatkan kemenangan pada perlawanan seterusnya. Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk kita bersaing dengan pasukan seperti Vietnam,” tambah beliau.

Malaysia akan meneruskan misi meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan melayani kunjungan Thailand pada 14 Nov dan Indonesia (19 Nov) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");