Berita Hari Ini

Tarik Balik Gesaan Inkues Atas Kerelaan Sendiri – AR Badul

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah veteran, AR Badul menegaskan keputusan menarik balik gesaan inkues adalah di atas kerelaan sendiri, bukan disebabkan tekanan mana-mana pihak.

Katanya, perasaan lega dirasai sebaik meluahkan hasrat itu walaupun ada suara sumbang menabur fitnah konon mulutnya ditutup dengan ganjaran wang ringgit.

“Saya berpuashati dengan penerangan terperinci berhubung kejadian yang diberikan pengurusan tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) pada pertemuan semalam. Tidur pun sekarang boleh lena.

“Orang yang tahu menuduh itu kena faham, inkues adalah untuk memahami perkara sebenar dan apabila segala keraguan dirungkai secara jelas, persoalan yang bermain di fikiran sudah terjawab.

“Jika ia berkenaan wang atau saman, pasti saya sudah melantik peguam memandangkan sejak awal kejadian ini berlaku ada yang menawarkan diri mahu menolong dari segi nasihat undang-undang.

“Langsung saya tak terfikir mahu menyaman kerajaan dan sekarang berani pula menuduh saya berdiam diri dan mendakwa saya buat pakatan dengan pihak tertentu. Itu semua fitnah,” katanya.

Semalam, AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 70, menarik balik inkues bagi mencari punca kematian anaknya, pegawai komando Mejar Mohd Zahir Armaya, pada 4 September lalu.

Seniman itu berbuat demikian selepas mempertimbangkan kepentingan tiga anak Allahyarham selain seorang lagi yang bakal lahir serta nasib individu yang tertembak Allahyarham Mohd Zahir.

Menerusi perkahwinan pertama, Allahyarham dan bekas isteri, Jamilah Ismail, dikurniakan Ebal Zulkarnain, 9; dan Remy Iskandar, 8, yang kini tinggal dengan ibu mereka di Pekan, Pahang.

Bersama Nour Shafinar Harun, 31, mereka baharu menimang cahaya mata yang kini berusia enam bulan malah balunya kini sedang hamil dua bulan.

Mohd Zahir meninggal dunia ketika melakukan demonstrasi keupayaan sempena pelancaran penubuhan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) di Kem Kok Lawi, Sabah.

Terdahulu, Badul dilaporkan tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Siasatan TDM yang menunjukkan kematian anaknya diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan.

Balu Mohd Zahir, pula dilaporkan menyerahkan kepada keluarga Allahyarham suaminya itu andai mahu inkues dilakukan bagi menentukan punca kematian.

Sebagai bekas anggota tentera, Nour Shafina, 31, memahami prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan dalam memastikan keselamatan anggota tentera dalam setiap operasi.

Bagi Badul lagi, tanggungjawab sebagai bapa dalam mencari kebenaran sudah dilaksanakan sekali gus berharap ibu Allahyarham juga menerima ketentuan ini dengan hati buka.

“Saya turut memanggil empat lagi ahli keluarga terdekat untuk mendengar penerangan wakil TDM yang juga pegawai atasan anak saya termasuk bapa saudara Mohd Zahir dari sebelah ibunya sebagai wakil.

“Mereka berikan maklumat secara jelas dan terperinci malah paling utama memberi jaminan kebajikan dan persekolahan semua cucu saya itu akan terpelihara.

“Buat masa ini saya hanya mampu berharap keluarga di sebelah sana (ibu Allahyarham) juga maklum dengan penerangan daripada wakil yang mendengar taklimat sama, semalam.

“Namun jika mereka ingin meneruskan inkues berkenaan, itu terpulang tetapi pokok pangkal kena fikirkan masa depan anak Allahyarham yang berada di bawah jagaan emak masing-masing,” ulasnya lagi.

Ditanya perasaannya terhadap pelaku dalam kejadian terbabit, akui Badul tiada sebab untuknya menyimpan amarah kerana kejadian berkenaan bukan disengajakan.

“Siapa saya untuk menyimpan dendam? Tiada siapa pun ingin peristiwa berdarah seperti ini terjadi apatah lagi bagi individu yang mengakibatkan kematiannya. Saya reda dan ikhlas memaafkannya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");