Perak Hari Ini

Teresa Kok Sasar Penghasilan 100,000 Anak Benih Buluh Setiap Bulan Di Lahat

IPOH: Tapak semaian buluh milik Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang dirancang dibangunkan di Lahat dijangka dapat menghasilkan 100,000 anak benih buluh setiap bulan, pada tahun hadapan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata terdapat lima spesies buluh yang telah dikenalpasti untuk Projek Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) berkenaan antaranya buluh semantan, buluh beting, buluh beti, buluh betung dan buluh hitam.

Ujarnya ia sebagai langkah untuk mengalakkan aktiviti penanaman buluh di negara ini selain menarik para pelabur dan pengusaha dalam industri buluh.

“Kita mendapati ada ramai pelabur daripada negara Jepun berminat untuk bekerjasama dengan kita bagi membangunkan industri berasaskan buluh.

“Saya merasakan selepas ini juga akan ramai pihak yang akan menunjukkan minat yang sama.

“Kami merasakan perkara ini adalah sesuatu yang Kerajaan Perak dan kerajaan Persekutuan juga dapat menjalinkan usahasama,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Buluh Sedunia 2019 di Hotel Casuarina Meru Raya di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Teresa berkata di Malaysia, dianggarkan terdapt 58 juta rumpun buluh yang meliputi kawasan seluas kira-kira 3290,000 hektar selain mempunyai sekitar 59 spesies buluh.

Katanya di Perak dianggarkan sebanyak 15 juta rumpun buluh dan 15 syarikat telah terlibat dalam menghasilkan produk berasaskan buluh.

“Antara pasaran eksport utama buluh dan produk berasaskan buluh Malaysia ialah Jepun dengan sebanyak RM2.15 juta, Amerika Syarikat (RM1.98 juta) dan Singapura (RM1.17 juta),” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyambut baik usaha kementerian dalam membangunkan industri buluh negara di negeri ini.

“Apabila hasrat Kementerian, dan disambuy baik oleh kerajaan negeri untuk membuka ladang-ladang hutan bagi penanaman benih-benih berkualiti untuk industri buluh, saya berharap rakyat dapat menyambut baik hasrat ini.

“Rakyat juga diseru untuk mengambil peluang ini kerana ia dapat menjana ekonomi dengan baik bagi rakyat. Dengan syarat ia harus dibangunkan bersungguh-sungguh industri hilirannya,” ujar beliau.

Pada jumaat, menerusi pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh kepada petani, nelayan dan pekebun kecil.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");