Berita Hari Ini

Tragedi Basikal Lajak 3 Pagi: Keluarga Rasa Kesal, Terkilan

“KAMI semua kesal dan tidak dapat terima keputusan itu,” kata Fatimah Nasir, 45, ibu kepada seorang daripada mangsa kemalangan meragut lapan nyawa di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, 18 Februari 2017 lalu.

Fatimah meluahkan kekecewaan itu berhubung keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru kerana melepas dan membebaskan jurujual yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Menurutnya, perkara itu diluahkan semua keluarga mangsa kemalangan yang berbincang menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp ‘lapan anak syurga’.

“Ketika berkongsi keputusan itu (pembebasan wanita daripada pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian), semua keluarga tidak boleh terima.

“Kami akan berbincang dan berkumpul selepas ini untuk membuat sebarang keputusan seterusnya sama ada melawan semula kes itu atau sebaliknya,” katanya kepada Harian Metro, pada Isnin.

Fatimah berkata, kumpulan WhatsApp itu ditubuhkan sejak 2017 selepas kemalangan meragut nyawa ahli keluarga masing-masing.

“Di situ, kami berkongsi semua perkara bersama ahli keluarga lapan mangsa serta tiga peguam kami.

“Bermula daripada kes kemalangan itu hingga perbicaraan di mahkamah, semuanya dikongsikan bersama, ibarat satu keluarga,” katanya.

Menurut Fatimah, semua keluarga mangsa kemalangan itu tidak mengetahui keputusan akan dijatuhkan di Mahkamah Majistret, pada Isnin.

Katanya, tiada pihak, termasuk polis dan peguam yang memberitahu mereka sedangkan sebagai keluarga, mereka berhak tahu perkembangan penting kes membabitkan wanita itu sama ada bersalah atau tidak.

“Kami kesal, terkilan. Sepatutnya ada wakil keluarga mendengar keputusan penuh itu, ini tidak kami hanya mengetahuinya menerusi laman sosial sebelum berbincang mengenainya di kumpulan WhatsApp lapan anak syurga,” katanya.

Pada prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan pembelaan diwakili Muhammad Faizal Mokhtar.

Berdasarkan pertuduhan, Sam Ke Ting, 24 didakwa melakukan kesalahan tersebut di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut adalah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");