Sukan Hari Ini

UiTM Pertahan Piala Sumbangsih

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) membuka tirai Liga Bolasepak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan langkah kanan apabila merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Shah Alam.

Menurut Harian Metro, juara bertahan itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas naib juara Piala Menteri Pendidikan Malaysia berkenaan.

Pemain tengah UiTM, Muhammad Izman Solehin Rohadi meledak dua gol menarik pada minit ke-45 dan masa tambahan pada aksi berlangsung di Stadium UiTM, semalam.

UPSI memperoleh jaringan penyamaan pada babak kedua perlawanan menerusi rembatan Mukhlis Ihsan Najmi Mohamad Nadzir dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-48.

Sebelum pemain sayap UiTM, Hausen Shwahiri Hasboni Shawal menggandakan jaringan menerusi tendangan leret pada minit ke-69.

Jaringan Badrul Hafiz Mohd Isa pada minit terakhir permainan gagal memberi kemenangan kepada UPSI sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi.

Ketua jurulatih UiTM, Iqbal Hanafi Masduki berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan yang dibentuknya dalam tempoh sebulan itu.

“Namun, kesilapan komunikasi antara jentera pertahanan dan penjaga gol menjadi punca pasukan lawan berjaya menghasilkan gol.

“Begitupun, saya akan meneliti semula strategi pasukan untuk mengharungi liga musim ini dengan kemenangan,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Pekan Ramli.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Md Amin Md Taff dan Pengarah Pusat UiTM, Mustaza Ahmad.

Liga anjuran KPM dijadualkan berlangsung sehingga Mac tahun depan disertai 28 pasukan IPT yang merangkumi saingan bagi divisyen satu dan dua di seluruh negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");