Berita Hari Ini

Utusan Tutup Operasi Mulai Esok Susulan Jual Ekuiti Kepada Media Prima

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd yang melepaskan 70% pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Kumpulan Media Prima baru-baru ini akan berhenti operasi dan tidak lagi akan menerbitkan tiga akhbarnya mulai esok.

Sumber memberitahu FMT, pemakluman mengenai keputusan itu diberikan kepada kakitangannya petang semalam.

“Dalam taklimat kepada ketua-ketua jabatan semalam, kami dimaklumkan hari ini adalah hari akhir Utusan Malaysia dan Kosmo! akan dikeluarkan. Mulai esok tidak ada lagi akhbar Utusan (dan dua lagi akhbar),” kata sumber yang menghadiri talimat yang diberikan oleh pengarah eksekutif.

Kata sumber itu, ketua-ketua jabatan juga telah diminta memberikan taklimat kepada pekerja di bawah penyeliaan masing-masing.

Satu lagi sumber memberitahu, “semua wartawan telah diminta mengosongkan pejabat dan meja masing-masing. Tidak perlu datang esok mulai esok.”

Isnin lepas, Utusan Melayu mengumumkan akan melepaskan 70% pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd. Syarikat itu berkata pelepasan pegangan dalam Dilof adalah untuk memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana itu.

Menurut Utusan Melayu, Aurora Mulia dipilih kerana syarikat tersebut merupakan pemegang saham utama Media Prima Berhad.

“Ia untuk memastikan akhbar Utusan Malaysia yang telah berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo! yang berusia 15 tahun dapat diteruskan,” kata syarikat itu.

Dilof merupakan anak syarikat 100 peratus milik Utusan Melayu, yang kini merupakan pemegang permit menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.

Utusan Melayu kini berhadapan dengan masalah aliran tunai dan pelaburan dalam Dilof akan membolehkan suntikan kewangan daripada Aurora Mulia dan seterusnya memastikan penerbitan kedua-dua akhbar ini dapat diteruskan.

Difahamkan syarikat yang dilantik untuk menguruskan proses penggulungan syarikat akan memberi taklimat khas kepada pekerja-pekerja Utusan Melayu pada 29 Okt ini.

“Syarikat luar ini akan memaklumkan status dan kedudukan syarikat akhir bulan ini. Apa pun kami perlu menunggu surat rasmi pagi ini.”

Dalam taklimat semalam, pengurusan memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan notis rasmi mengenai penutupan hari ini.

“Kami hanya boleh dapat gambaran sebenar selepas terima surat nanti,” kata beliau.

FMT dimaklumkan Utusan Melayu yang berada di bawah pengurusan baru sejak awal ini, bercadang untuk melaksanakan pengurangan tenaga kerja pusingan kedua bulan ini, dengan jabatan editorial Utusan Malaysia dan Kosmo! hanya akan mempunyai sekitar 60 hingga 70 orang wartawan.

Utusan Melayu, yang ditubuhkan pada 1939 di Singapura, pernah mempunyai sekitar 2,000 pekerja satu ketika dulu termasuk 500 pekerja editorial.

Ditanya sama ada pengurusan ada memaklumkan mengenai penggabungan editorial Utusan Melayu, Kumpulan NSTP dan Media Prima, sumber berkata, pengurusan hanya memberitahu ia akan diputuskan oleh pengurusan baru kelak.

“Kemungkinan syor tahun 2005 iaitu penggabungan Kumpulan Utusan dan NSTP muncul semula, akan menjadi kenyataan selepas ini,” kata beliau.

Sumber juga memberitahu pengurangan tenaga kerja juga akan melibatkan Kumpulan NSTP selepas ini.

“Kemudian ia akan membawa kepada penggabungan editorial Kumpulan Media Prima dan Utusan Melayu Berhad,” kata beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");