Panasnya Hari Ini

Zahid Tidak Hadir Kongres Maruah Melayu

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan tidak akan menghadiri Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada Ahad ini yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau tidak dapat menghadiri kongres itu kerana perlu menghadiri dua program parti iaitu Konvensyen UMNO Melaka dan pemukiman Puteri UMNO Nasional pada hari berkenaan.

“UMNO menerima jemputan daripada penganjur Kongres Maruah Melayu yang ditujukan kepada Presiden semalam. Mesyuarat Majlis Kerja tertinggi (MKT) UMNO memutuskan akan menghantar rombongan ke kongres itu diketuai Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa.

“Persetujuan menghadiri majlis itu adalah atas dasar menghormati penganjur iaitu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya tidak dapat menghadiri kongres itu kerana terikat dua program yang sudah dirancang sejak awal iaitu Konvensyen UMNO Melaka dan program pemukiman Puteri UMNO peringkat nasional,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, hari ini, lapor BH Online.

Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengesahkan akan menghadiri kongres berkenaan.

Kongres itu dianjurkan Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta NGO.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengesahkan BN akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Bagaimanapun, calon BN akan diputuskan dan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas kajian serta penelitian terperinci dijalankan.

“Kami akan membuat kajian menyeluruh dalam menentukan calon. Saya sudah berbincang dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Sama ada calon dipilih adalah orang luar atau tempatan, akan diputuskan selepas kajian selesai,” katanya.

Beliau turut berkata, UMNO membuat keputusan menukar tarikh perhimpunan agungnya kepada 4 hingga 7 Disember ini susulan tarikh asal bertindan dengan kempen dan hari mengundi PRK Parlimen Tanjung Piai.

Katanya, perubahan tarikh perhimpunan itu bagi membolehkan jentera kempen UMNO dan BN menumpukan perhatian kepada PRK berkenaan.

“Mesyuarat MKT UMNO hari ini membincangkan mengenai perhimpunan agung yang kebetulan tarikhnya sama dengan kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

“Maka kami putuskan satu tarikh baharu yang dipersetujui semua MKT yang mana Perhimpunan Agung UMNO 2019 akan diadakan pada 4 hingga 7 Disember ini,” katanya.

UMNO sebelum ini mempertikai tarikh kempen dan mengundi PRK berkenaan dan menganggap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai membuat keputusan tidak adil kepada UMNO.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Tanjung Piai pada 2 Disember ini dan pengundian pada 16 Disember manakala pengundian awal pada 12 Disember.

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");