Berita Hari Ini

20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Tolak Pemecatan Zakaria Abdul Hamid

Keputusan dan tuntutan maaf daripada Anwar atas keterlanjuran yang jelas tidak mendapat sokongan dua pertiga Ahli MPP parti, terkandung dalam memo bertajuk ‘Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah’ bertarikh hari ini yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR.

Tiga daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

Tujuh belas nama lain di dalam memo berkenaan ialah Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi.

Ahli MPP lain termasuk Amiruddin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon, R Sivarasa, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar serta Zakaria sendiri.

“Kami selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang dipilih bagi sesi 2018-2021 dengan ini sebulat suara menolak pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai ahli MPP Keadilan seperti diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Ahmad Kassim walaupun syor yang dikemukakan oleh Lembaga Disiplin sendiri hanyalah tunjuk sebab, bukan pemecatan.

“Perkara ini dicapai setelah kami meneliti dan mendapati keputusan memecat beliau adalah dengan alasan yang cacat dan tidak menepati prinsip keadilan iaitu tidak melalui proses sebagaimana harusnya.

“Ini diperkukuhkan dengan kenyataan terbuka pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sendiri yang menjelaskan kekhilafan pihak mereka dalam hal makluman kepada Lembaga Disiplin parti tentang isu berkenaan. Malahan turut dinyatakan bahawa setelah disiasat, tiada kes wujud seperti dakwaan.

“Justeru, kami mewakili majoriti Ahli MPP yang dipilih oleh anggota parti dengan ini menyatakan penolakan kami terhadap keputusan tergesa-gesa berkenaan dan mendesak agar Presiden parti memohon maaf atas keterlanjuran ini (pemecatan Zakaria) yang jelas tidak mendapat sokongan dua pertiga Ahli MPP parti sendiri,” menurut memo berkenaan yang turut diedarkan kepada pihak media, hari ini.

Memo berkenaan turut menyatakan, sehingga hari ini Zakaria masih Ahli MPP PKR yang sah.

“Maka, makluman pemecatan yang tidak menyebut sebab pemecatan itu juga tidak relevan, apatah lagi untuk merayunya,” katanya.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim, mengumumkan pemecatan Zakaria yang juga Ketua Cabang PKR Bera dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi, pada Ahad lalu, selepas dipercayai terbabit dengan kes rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Anwar kemudian mempertahankan pemecatan dua ahli PKR berkenaan.

Meskipun SPRM mengakui terkhilaf mengeluarkan cadangan tatatertib kepada parti politik, Presiden PKR itu menegaskan, kandungan surat yang mendedahkan bukti salah laku dua ahli PKR itu tidak dipertikaikan.

Beliau menjelaskan, PKR terpaksa mengambil tindakan tegas memecat mereka kerana kandungan surat yang dihantar SPRM itu sangat serius dan substantif daripada segi fakta kesalahan dilakukan lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");