Sukan Hari Ini

Adly Lepaskan Jawatan Presiden MUSA

MELAKA – Ketua Menteri, Adly Zahari hari ini mengumumkan untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) selepas memegang jawatan itu kira-kira tempoh satu tahun lapan bulan.

Menurut Bernama, beliau berkata jawatan itu diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Damian Yeo Shen Li yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (Melcat) berkuat kuasa 1 Nov.

Beliau berkata pelantikan itu berdasarkan statut persatuan Artikel 40 iaitu yang menyatakan siapa saja yang dipilih sebagai ketua menteri secara automatik adalah presiden MUSA dan boleh melantik sesiapa saja dianggap sesuai sebagai presiden.

“Saya membuat keputusan ini kerana memikirkan persatuan memerlukan tumpuan dalam pengurusannya dan sebagai ketua menteri, ia lebih terarah dalam urusan pentabiran kerajaan negeri.

“Saya yakin pengganti bagi jawatan presiden ini mampu menerajui persatuan dan memberi fokus sepenuhnya selain beliau (Yeo) juga telah terlibat secara tidak langsung dengan bola sepak negeri tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Adly berkata Petunjuk Prestasi Utama (KPI) juga ditetapkan kepada persatuan iaitu menubuhkan Akademi Bola Sepak negeri bagi menggilap bakat anak-anak kecil sejak sekolah rendah selain melihat potensi MUSA itu adalah satu daripada produk dalam membangunkan sektor sukan pelancongan.

Katanya, walaupun tahun ini Melaka United hanya memperbaiki kedudukan dengan berada di tangga keenam, namun beliau melihat pasukan ini memiliki kelebihan dan mampu pergi lebih jauh dalam saingan bola sepak tempatan.

“Sejak saya mengambil alih tahun lepas, MUSA telah membelanjakan sebanyak RM21 juta untuk perbelanjaan pasukan selain menyelesaikan isu tunggakan gaji.

“Walaupun tidak memegang lagi jawatan dalam persatuan, kerajaan negeri menerusi agensi-agensi terlibat tetap memberi komitmen kepada pasukan dengan menyumbang RM3 juta,” katanya.

Adly yang juga ADUN Bukit Katil secara automatik menjadi Presiden MUSA selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob pada 11 Mei lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");