Panasnya Hari Ini

Azmin, Zuraida Tidak Dijemput Hadiri Konvensyen Reformis Esok

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin tidak dijemput ke Konvensyen Reformis yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini esok.

Menurut BH Onlien, ia disahkan pihak penganjur merangkap Setiausaha Otai Reformis 98, Abdul Razak Ismail, namun beliau mengulas lanjut mengapa kedua-dua pemimpin utama parti itu tidak dijemput menghadiri konvensyen berkenaan yang akan dirasmikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan tidak menjemput Mohamed Azmin dan Zuraida dipercayai mempunyai kaitan dengan hubungan dingin membabitkan kedua-dua pemimpin itu dengan Anwar sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, Mohamed Azmin melabel pihak yang ghairah mahu berkuasa dengan mengubah pentadbiran kerajaan lebih awal dari lima tahun, disifatkan sebagai cuba menubuhkan kerajaan menggunakan ‘pintu belakang’.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menegaskan rakyat menyerahkan mandat kepada pentadbiran sedia ada untuk mentadbir kerajaan bagi tempoh lima tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)

Perkara itu turut disokong Zuraida yang mahu Dr Mahathir Mohamad meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal PRU-14.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan kenyataan Mohamed Azmin yang menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Port Dickson itu, berkata hanya Majlis Presiden PH akan menentukan sama ada Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal atau sebaliknya.

Pendirian Mohamed Azmin itu bertentangan konsensus PH membabitkan pertukaran Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh penggal PRU-14 seperti dilaporkan sebelum ini.

Anwar sebelum ini dilapor membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Dr Mahathir sekitar tahun depan, iaitu dua tahun selepas PH mentadbir.

Isnin lalu, Mohamed Azmin turut dilaporkan mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PKR di kediamannya di Presint 10, Putrajaya, yang turut dihadiri Zuraida.

Pada Jun lalu, Otai Reformis 98 menggesa Dr Mahathir memberi tarikh peralihan kuasa kepada Anwar bagi memastikan masyarakat dan pelabur lebih yakin dengan masa depan kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");