Perak Hari Ini

Bayaran Ganti Rugi RM200,000 Kepada Nizar Dikekalkan

MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen mengenai pembayaran ganti rugi RM200,000 kepada Timbalan Pengerusi Amanah Perak Mohammad Nizar Jamaluddin dalam tuntutan fitnah yang difailkan terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

Tiga hakim yang bersidang iaitu Dr Badariah Sahamid, Hasnah Mohammed Hashim dan Harmindar Singh Dhaliwal sebulat suara menolak rayuan Razman.

Hakim  Badariah yang mengetuai sidang berkata mereka  mendapati rayuan Razman tidak mempunyai merit, dan menambah tiada kekhilafan yang boleh dirayu dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Beliau memerintahkan Razman membayar kos RM10,000 kepada Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar, bekas menteri besar Perak, telah memfailkan saman RM3 juta terhadap Razman pada 2016, atas dakwaan Razman telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah dan telah mencemarkan imejnya sebagai seorang ahli politik.

Pada 2017, Mahkamah Sesyen Ipoh memerintahkan Razman membayar ganti rugi RM200,000 kepada Mohammad Nizar selepas mendapati Razman bertanggungjawab terhadap kenyataan fitnah yang dibuatnya terhadap Mohamad Nizar yang diterbitkan dalam akhbar tempatan berbahasa Melayu  pada 2 Jun 2015.

Razman merayu kepada  Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Peguam Mohd Harris Abdullah mewakili Razman manakala Mohammad Nizar diwakili peguam Mohd Fitri Asmuni.

Mohd Fitri memberitahu pemberita bahawa anak guamnya (Mohammad Nizar) akan mendapat ganti rugi yang ditetapkan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan hari ini. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");