Berita Hari Ini

Belum Sampai Masa Perkenal Harga Lantai Kelapa Sawit

KUANTAN: Kerajaan belum bersedia memperkenalkan harga lantai bagi kelapa sawit bagi mengatasi keluhan pekebun sawit di seluruh negara berikutan harga komoditi itu yang tidak konsisten.

Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok, berkata buat masa ini kerajaan belum mempunyai kemampuan kewangan untuk menetapkan harga lantai berkenaan.

“Buat masa ini, kita tidak mampu, tetapi kajian untuk melaksanakan cadangan harga lantai untuk kelapa sawit masih dijalankan. Kita perlu tengok dulu hasil kajian sebelum meneruskan (cadangan) berkenaan.

“Kementerian setakat ini tidak bercadang memperkenalkan (harga lantai), jika ada kemampuan (kewangan) pada masa depan, kita sedia berbuat demikian.

“Berdasarkan trend semasa (harga sawit), ada peningkatan dan ini berita baik kepada semua pekebun sawit,” katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi) Kementerian Industri Utama, Ravi Muthayah dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Integrasi dan Pengembangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ramlee Moslim.

Sementara itu, pada sesi taklimat dan dialog dihadiri kira-kira 600 pekebun sawit, Kok berkata, sehingga September lalu, sebanyak 3.19 juta hektar daripada 5.85 juta hektar tanaman kelapa sawit di seluruh negara sudah mendapat pensijilan MSPO.

“Bagi Pahang, lapan daripada sembilan kawasan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) sudah mendapat (pensijilan) MSPO membabitkan 776 pekebun dengan keluasan 1,900 hektar.

“Jumlah ini masih rendah dibandingkan keluasan sebenar ladang sawit di Pahang iaitu 53,000 hektar dan kita berharap lebih ramai memohon pensijilan MSPO dalam tempoh dua bulan ini.

“Kita sasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus pekebun sawit di seluruh negara mendapat MSPO menjelang awal tahun depan bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan,” katanya.

Ditanya status ladang sawit diusahakan komuniti Orang Asli yang tidak mempunyai geran, Kok berkata, perkara itu akan diselesaikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang diberi kuasa mengeluarkan surat pembuktian hak milik tanah kepada Orang Asli yang mengusahakan ladang terbabit lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");