Panasnya Hari Ini

BERJASA Tidak Sepatutnya Bertanding – IKATAN

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) tidak bersetuju dengan tindakan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menurut BH Online, pendirian disuarakan Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, senada dengan PAS yang membantah tindakan itu kerana dari awal sudah menyatakan sokongan kepada calon dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) pada PRK, 16 November ini.

“BERJASA sepatutnya tidak bertanding,” tegas Abdul Kadir yang enggan mengulas lanjut dalam isu berkenaan.

BERJASA mempertaruhkan presidennya, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz, dalam saingan enam penjuru pada PRK kali ini yang juga PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

PAS, IKATAN, BERJASA dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membentuk kerjasama politik menerusi Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang diwujudkan pada 2016 sebagai blok kuasa ketiga.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu akan mengkaji semula hubungan dengan BERJASA dalam GAGASAN susulan rakan komponen mereka meletakkan calon pada PRK berkenaan.

Pendirian PAS itu bersandarkan persefahaman dicapai dalam Muafakat Nasional antara parti siasah itu dan UMNO yang secara tidak langsung membabitkan GAGASAN dan Barisan Nasional (BN) dengan memastikan tidak akan berlaku perebutan kerusi sesama sendiri.

Semalam, Abdul Hadi turut mengakui GAGASAN adalah satu pakatan longgar yang tidak terikat dengan syarat ketat, sebaliknya hanya bersandarkan kepada budi bicara dan moral politik.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata GAGASAN adalah satu pakatan longgar yang bertujuan untuk menampakkan PAS mempunyai blok sendiri dengan IKATAN dan BERJASA mempunyai peranan sangat minimum.

GAGASAN juga tidak mempunyai sebarang perjanjian khusus termasuk dari segi agihan kerusi dan disiplin parti, sebaliknya didominasi PAS, termasuk dari segi bilangan kerusi yang hampir semua ditandingi parti itu.

Selain itu, katanya, dokumen rasmi GAGASAN khususnya Manifesto Malaysia Sejahtera banyak dipandu oleh dasar PAS.

“Pendirian umum GAGASAN dalam politik pula hanyalah sederhana, iaitu menghormati mandat rakyat yang memberi kemenangan kepada sesebuah parti politik memerintah, dan tidak menumbangkan kerajaan melalui ‘cara pintu belakang’.

“Mereka juga menyertai pilihan raya sebagai kaedah sebenar untuk menukar kerajaan yang lebih baik serta mengemukakan dasar dan amalan bernegara yang terbaik melalui manifesto dan tawaran pilihan raya.

“Menjadi pembangkang yang matang dan sejahtera, di mana menegur kerajaan dalam perkara yang tidak dipersetujui dengan memberi cadangan alternatif. Pada masa yang sama boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan rakyat dan umat manusia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");