Berita Hari Ini

Bimbing Bukan Bermakna Galak Basikal Lajak, Kata Syed Saddiq

JAMINAN untuk membimbing remaja yang terlibat dalam kegiatan basikal lajak tidak bermakna kerajaan menyokong aktiviti itu, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bimbingan itu sebaliknya untuk mencungkil bakal remaja itu menyertai sukan berbasikal dan melibatkan golongan itu dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Saya rasa ada banyak salah faham di sini, pertama kita perlu membimbing dan bukan cepat menghukum. Membimbing bukan bermakna kita galakan mereka untuk menunggang basikal lajak.

“Tetapi turun padang jumpa mereka, ibu bapa mereka dan berikan insentif supaya mereka dapat sertai institusi TVET di bawah Kementerian Belia dan Sukan,” katanya kepada pemberita.

Jelas Syed Saddiq, kementeriannya boleh menyediakan laluan khas kepada kumpulan belia berisiko, seperti kumpulan berbasikal lajak untuk menyertai latihan dalam institusi TVET.

Malah sudah ada remaja yang berjaya menjadi atlet selepas menyertai program bawah kementerian itu, katanya lagi.

“Kita boleh cungkil bakat mereka, kita ada program berbasikal junior. Ada atlet kita yang katakan mereka menyesal terlibat dengan sukan lajak, dan menyertai program ini,” kata Syed Sadiq.

Menteri itu menegaskan kerajaan tidak bersetuju anak-anak muda terlibat dengan aktiviti basikal lajak yang merbahaya.

“Saya tidak bersetuju anak-anak ini tunggang basikal tanpa alat keselamatan dan akhirnya tempah maut.

“Itu kita tak boleh terima, benda kita patut tolong, kita kena membimbing bukan menghukum terus,” kata Syed Saddiq lagi.

Syed Saddiq berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan FWD Takaful Berhad bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di ibu negara.

Dalam kenyataan minggu lalu, Syed Saddiq menyatakan kekecewaan kerana segelintir anggota masyarakat lebih cenderung menghukum berbanding membimbing kumpulan tersebut.

Kegiatan basikal lajak ini menjadi perhatian ekoran kes kemalangan mengorbankan lapan remaja di Johor Bahru pada 2017.

Pemandu kereta yang melanggar remaja berkenaan dibebaskan dari tuduhan menyebabkan kematian oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 28 Oktober lalu.

Susulan itu, polis mempergiat tindakan ke atas remaja ini, yang menaiki basikal diubahsuai tanpa kelengkapan keselamatan.

Antara yang ditahan adalah sekumpulan kanak-kanak dan remaja yang menunggang basikal lajak di Ampang dalam satu operasi. Turut ditahan adalah ibu bapa dan penjaganya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan.

Polis turut mengeluarkan saman terhadap kanak-kanak dan remaja berusia antara 11 hingga 16 tahun itu. Basikal mereka turut disita itu mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan.

Selain itu timbul saranan Jabatan Keselamatan Jalan Raya agar basikal berkenaan diharamkan sepenuhnya kerana didakwa memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");