IPOH: Sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menzahirkan kekesalan atas kejadian kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima ketika perasmian sebuah kejohanan sukan bola keranjang pada kelmarin.
Kekesalan sama juga dizahirkan atas kejadian cetakan Bendera Perak yang berkedudukan terbalik pada jersi salah satu pemain pasukan bola keranjang negeri pada acara tersebut.
Presiden Persatuan Budak Bus Stand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud menyifatkan bintang pecahan lima itu seolah-olah sebagai satu simbol komunisme yang sepatutnya tidak berlaku di negara ini.
Ujar beliau, pihaknya mendesak agar hukuman seperti denda dan penjara atau mengugurkan taraf warganegara kepada pesalah harus dilaksanakan.
Katanya ia sebagai pengajaran supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan undang-undang dan Perlembagaan Negara yang sepatutnya dihormati.
“Yang jelas perkara ini sama ada senga atau tidak, seolah-olah mereka dengan bangga dan angkuh menunjukkan sikap biadap dan kurang ajar serta tidak mempunyai semangat patrotisme.
“Kami berpendapat tindakan yang keras perlu diambil untuk memberi pengajaran kepada individu atau pihak-pihak tertentu yang cuba menggugat kedaulatan negara,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) selaku penganjur kejohanan telah memohon maaf dan bertanggungjawab atas kesilapan mereka tersebut.
Kejadian tersebut mengundang pelbagai keresahan umum termasuk beberapa ngo serta pimpinan negeri dan negara.
Dalam perkembangan sama, Amiruddin juga menzahirkan kekesalan pihaknya berhubung laporan sebuah portal yang mendakwa abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, telah dibawa ke Perak.
Beliau menggesa agar siasatan dapat dilakukan segera dan mengenakan tindakan yang sewajarnya kepada pelaku yang terlibat.
“Chin Peng ini telah bertanggungjawab dalam membunuh pihak tentera, polis dan orang awam sewaktu ketika dahulu.
“Di mana maruah kita membenarkan abu pembunuh ini masuk ke negara kita. Saya mohon agar Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia dapat menyiasat perkara ini,” katanya.