Berita Hari Ini

Bukan Semua Pengidap Kencing Manis Tak Boleh Memandu – Anthony Loke

KUALA LUMPUR: : Dakwaan bahawa semua penghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi tidak boleh memperbaharui lesen memandu merupakan fitnah semata-mata.

Sebaliknya, halangan untuk memperbaharui lesen memandu itu tertakluk pada penilaian doktor.

Itu penegasan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Astro Awani, penjelasan Anthony Loke itu berdasarkan pertanyaan Abdul Azeez mengenai mogok besar-besaran yang dilakukan 500 pemandu lori di Putrajaya dan Pelabuhan Klang baru-baru ini ekoran tidak puas hati dengan syarat baharu dikenakan Kementerian Pengangkutan termasuk pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan memperbaharui lesen memandu.

“Bukan semua pemandu lori yang ada penyakit kencing manis tak boleh memandu, ia tertakluk kepada pemeriksaan doktor.

“Jika mereka (pemandu lori) melepasi pemeriksaan kesihatan dan mendapat pengesahan doktor maka, mereka dibenarkan memandu.

“Pihak yang mengesahkan tahap kesihatan pemandu lori bukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tapi doktor. Kalau doktor kata tiada masalah maka, mereka (pemandu lori) dibenarkan memperbaharui lesen memandu,” kata Anthony Loke lagi.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dalam usaha mencegah kemalangan di jalan raya.

Menurut beliau, antara tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan dalam usaha mencegah kemalangan jalan raya ialah pelaksanaan beberapa inisiatif seperti mewujudkan pasukan penguatkuasaan lebuh raya mengikut zon.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan dalam usaha mencegah berlakunya peningkatan kemalangan jalan raya terutama yang melibatkan kenderaan berat seperti kenderaaan barangan dan bas.

“Selain itu, tindakan lain yang telah diambil adalah pelaksanaan Sistem Mata Demerit yang berkuat kuasa pada 15 April 2017.

“Di bawah sistem mata demerit ini, pemandu kenderaan perdagangan yang meliputi kenderaan barangan dan bas yang melakukan kesalahan berjadual akan diberikan mata demerit lebih tinggi berbanding kenderaan persendirian.

“Antara elemen atau tindakan tegas dimasukkan di bawah Sistem Mata Demerit ini ialah apabila lesen memandu (CDL) seseorang itu digantung atau dibatalkan, lesen vokasional iaitu GDL dan PSV juga turut akan digantung dan dibatalkan,” katanya ketika menjawab soalan (DAP- Batu Kawan), Kasthuriraani Patto.

Beliau juga menjelaskan di bawah peruntukan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat memandu di bawah pengaruh dadah, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan didenda tidak kurang dari RM8,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

“Pesalah yang memegang lesen percubaan juga apabila disabitkan akan dibatalkan lesen tersebut.

“Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen 44 juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");