Berita Hari Ini

Dana THM Bayar Hutang 1MDB

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memaklumkan, dana Tabung Harapan Malaysia (THM) sebanyak RM205 juta sudah digunakan sepenuhnya bagi pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan sudah menggunakan keseluruhan dana THM dengan pembayaran sebanyak RM61,680,261.87 bagi pelunasan bayaran faedah sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note) pada 28 November lalu.

“Pembayaran sebanyak RM61.68 juta yang dibiayai oleh dana tabung itu adalah hanya sebahagian daripada jumlah pembayaran faedah IMTN yang berjumlah RM143.75 juta.

“Baki sebanyak RM82.07 juta sudah dibiayai melalui dana pemulihan aset 1MDB yang berjumlah kira-kira RM1.45 bilion setakat ini,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, hutang 1MDB pada masa ini berjumlah RM50.5 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

“Dengan pembayaran terakhir sebanyak RM61.68 juta, maka dana THM sebanyak RM205 juta sudah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB,” katanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

“Bayaran seterusnya yang perlu dibuat oleh 1MDB adalah bayaran faedah bon terbitan 1MDB Global Investments Limited (GIL) sebanyak USD66 juta yang akan dibayar pada 9 Mac 2020.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM13.9 bilion terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017 hingga 2020,” katanya.

Menerusi kenyataan Kementerian Kewangan pada 7 Februari memaklumkan, baki akhir THM sehingga 14 Januari lalu, iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan adalah berjumlah RM202,716,775.

Selanjutnya, faedah pelaburan sebanyak RM2,774,444 sudah diterima dan ini menjadikan jumlah besar dalam akaun amanah THM adalah sebanyak RM205,491,219.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang menyumbang ke dalam THM ini memetik HMetro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");