Berita Hari Ini

Demi ‘Bossku’ PAS Sanggup Ketepi Berjasa, Kata Mat Sabu

Demi mengikut “Bossku”, kata Mohamad Sabu, PAS sanggup meninggalkan Bersaja walaupun parti itu menjadi rakannya dalam Gagasan Sejahtera.

Menurut presiden Amanah itu, PAS kini sebuah parti yang tiada pendirian langsung kerana tidak tetap dalam kata-katanya berdasarkan ketetapan mereka di Cameron Highlands dan Tanjung Piai.

“Ini jenis parti apa, saya pun tak tahu… tak ada pendirian langsung.

“Dia tinggalkan Berjasa, parti (dalam) Gagasan Sejahtera, rakan dia, dia tinggal kerana nak ikut Bossku!” katanya semasa menyampaikan ceramah di Pekan Nanas, Pontion malam tadi.

Istilah “Bossku” merujuk kepada bekas perdana menteri, Najib Razak, yang mempopularkan gelaran itu selepas didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan membabitkan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.

Najib hadir di Tanjung Piai sehari sebelum penamaan calon sebagai menunjukkan sokongannya kepada calon BN, Wee Jeck Seng, yang juga ketua MCA kawasan berkenaan.

PAS menyatakan sokongan penuh terhadap Wee dalam PRK kali ini.

Apabila tiada prinsip

Pendirian itu berbeza dengan PRK Cameron Highlands apabila pemimpin PAS meminta pengundi memberikan sokongan kepada calon BN yang beragama Islam berbanding calon PH yang bukan Muslim.

PAS juga menjalin kerjasama secara rasmi dengan Umno baru-baru ini dengan menjadikan slogan perpaduan ummah sebagai dasar bersama.

Ketua Ulama PAS Pusat baru-baru ini menjelaskan larangan mengundi calon bukan Islam dibuat kepemimpinan tertinggi parti itu tidak bersifat mutlak.

Mohamad berkata semasa di Cameron Highlands pada Jan lalu, PAS berkempen agar pengundi tidak memberikan sokongan kepada PH yang bukan Islam kerana mahu meramaikan wakil rakyat Islam di Dewan Rakyat.

“Itu di Cameron Highlands. Tapi di Tanjung Piai, dia kata kena undi orang bukan Islam,” katanya.

Untuk rekod Wee pernah menyatakan bantahan partinya terhadap cadangan PAS mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dianggap usaha langkah awal pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

Rang undang-undang itu dibawa melalui usul peribadi Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Bagaimanapun usul tersebut tidak pernah dibahaskan sehingga kini.

Semalam Abdul Hadi mempertahankan pendirian PAS dengan mendakwa penentangan Wee bersifat peribadi dan sokongan pihaknya kepada MCA kali kini dibuat berdasarkan kerjasama antara parti.

Justeru, kata Mohamad, pengundi Tanjung Piai – terutamanya masyarakat Cina – menolak Wee yang disokong PAS pada 16 Nov nanti.

“Inilah, apabila tak ada prinsip… saya harap kaum Tionghua di sini tolak BN pada 16 hari bulan nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");