Berita Hari Ini
Like

Dua Maut Dalam Kemalangan Tujuh Kenderaan Dekat Tapah

November 13, 2019
354 Views
0 Comments
1 minute read
Dua Maut Dalam Kemalangan Tujuh Kenderaan Dekat Tapah

TAPAH – Polis mengesahkan dua maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di KM317 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) dekat Tapah, malam tadi.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kemalangan pada 11.15 malam itu melibatkan sebuah lori jenis Isuzu, kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, Perodua Myvi dan Axia, Honda Accord serta dua buah treler.

Katanya mereka yang maut dalam kemalangan itu dikenali sebagai Salwati Yaakob, 28, yang merupakan penumpang hadapan Perodua Myvi serta Beh Xiu Zhung, 5, penumpang Pajero.

“Kedua-dua mangsa maut di lokasi dan bedah siasat akan dijalankan pagi ini untuk mengetahui punca kematian.

“Sementara itu, tiga orang mengalami pelbagai kecederaan, manakala lapan lagi selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, dilaporkan empat maut dalam kemalangan itu.

Menurut Wan Azharuddin, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dengan muatan kertas hilang kawalan semasa sampai di lokasi.

“Treler itu kemudian melanggar bahagian belakang kenderaan Perodua Axia dan seterusnya menyebabkan pelanggaran antara kereta yang lain,” katanya.

Beliau berkata pemandu treler berumur 41 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Komen & Pendapat

Comments are closed.