Perak Hari Ini

Exco Nafi Lima Syarikat Babit Pelaburan RM486 Juta Beroperasi Di Bangunan Sama

IPOH: Exco Kerajaan Perak, Howard Lee Chuan How tampil menafikan dakwaan yang menyebut bahawa lima syarikat peneraju Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) yang membabitkan pelaburan RM486 juta di negeri ini beroperasi di alamat yang sama.

Jelasnya kelima-lima syarikat tersebut beroperasi secara berasingan dan alamat yang didakwa itu adalah alamat syarikat setiausaha yang mana ia merupakan amalan biasa.

Katanya, Puncak Tegap Sdn Bhd beroperasi di Greentown Suria, Volgo Sdn Bhd beroperasi di Greentown Business Centre, Revoluteq Sdn Bhd beroperasi di Medan Ipoh Bestari, sementara TecCSA Sdn Bhd, dan DigitalQ Solutions Sdn Bhd beroperasi di bangunan AEON Falim.

Tambahnya lagi, Volgo Sdn Bhd dan DigitalQ Solutions Sdn Bhd mempunyai pelaburan masing-masing dengan pelabur dari China dan India yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi.

“Kelima-lima syarikat merupakan perintis GBS di Perak dan diharapkan ekosistem di bina di Ipoh ini akan menarik lebih ramai syarikat dan pelabur asing untuk mengoptimumkan guna pakai sumber manusia di negeri ini.

“Saya ingin tegaskan, walaupun GBS ini tidaklah terlalu asing namun, sistem perkongsian integrasi yang mana kita guna suntikan teknologi untuk lebih mengoptimumkan perkhidmatan perkongsian,” katanya dalam sesi pergulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Ujar Howard, beliau berasa terkilan dengan sikap pihak pembangkang yang dilihat seolah-olah memperlekehkan usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan di negeri ini.

“Puncak Tegap Sdn Bhd syarikat yang wujud 1993, modal berbayar RM40 juta.

“Kita kena faham apabila pelabur asing datang mewujudkan syarikat tujuan khas atau SPV untuk melabur di sini, sudah tentu ianya syarikat baharu.

“Walaupun terma Internet of Things (IoT) telah wujud sekian lama, namun teknologinya yang berjaya diterjemahkan melalui perkhidmatan perniagaan, ia masih baru. Teknologi yang baru, sudah tentu melibatkan syarikat yang baharu,” jelasnya.

Katanya lagi, inisiatif GBS itu dipacu oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Adakah pihak pembangkang mahu mempersoalkan kepakaran NCIA?,” soalnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Salbiah Mohamed menerusi satu video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi video yang berdurasi sekitar 3 minit itu, Jamilah mendakwa kerajaan negeri telah memanipulasikan fakta selain mempersoalkan kredibiliti kelima-lima syarikat yang menyasarkan membawa 1,500 peluang pekerjaan di negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");