Sukan Hari Ini

Faris Ramli Sah Milik TFC

KUALA TERENGGANU – Pemain kebangsaan Singapura, Muhd Faris Ramli sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi pasukan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melalui laman Facebook rasminya, Terenggganu Football Club hari ini.

Muhd Faris yang pernah beraksi sebagai pemain sayap PKNS FC pada 2018 dan kemudiannya berkhidmat untuk pasukan Huogang FC dalam Liga Singapura tahun ini disambar pengendali TFC, Nafuzi Zain bagi mengisi kuota import ASEAN yang ditinggalkan pemain Vietnam, Thierry Chantha Bin yang tidak disambung kontrak.

“Sebagai rekod, Faris telah menjaringkan 11 gol dalam 13 penampilannya bersama Hougong United dalam saingan Liga Perdana Singapura (SPL) 2019.

“Kecemerlangan itu melayakkan beliau merangkul Anugerah AIA Player Of The Season serta terpilih dalam SPL Team Of The Year dalam majlis FAS Nite yang diadakan baru-baru ini,” kata kenyataan itu, lapor Bernama.

Menurut kenyataan itu, Muhd Faris yang berusia 27 tahun akan digandingkan bersama dua lagi pemain import iaitu Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov di bahagian tengah.

Kehadiran beliau dijangka memberi impak besar kepada TFC terutama posisi paling kritikal iaitu sayap kiri yang merupakan kelemahan utama pasukan itu.

“Faris mempunyai gaya dan corak permainan yang serasi dengan TFC dan ia sesuatu yang amat didambakan oleh Nafuzi dalam membentuk pasukan impiannya,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abd Karim berkata Muhd Faris telah menandatangani kontrak dengan TFC Selasa lepas dan kehadiran pemain terbaik Singapura itu diharap dapat menambah kelajuan dan ketajaman jentera serangan TFC.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");