Berita Hari Ini

Guan Eng Bertemu PM Palestin, Zahirkan Sokongan DAP

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkesempatan bertemu Dr Mohammad Shtayyeh dan menzahirkan sokongan parti itu terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Menerusi kiriman di Facebook, menteri kewangan itu berkata pertemuan dengan perdana menteri Palestin itu berlangsung di persidangan Progressive Alliance di Stockholm, Sweden.

“Dr Mohammad Shtayyeh menzahirkan penghargaan terhadap sokongan DAP dalam resolusi menyokong Palestin di persidangan tersebut.

“DAP menegaskan solidariti kami bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut keadilan dan kebebasan,” katanya diiringi gambar bersama pemimpin Palestin berkenaan.

Turut kelihatan dalam gambar itu, Adun Bukit Gasing dari DAP, Rajiv Rishyakaran.

Sokongan DAP terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menentang kezaliman Zionisme bukan perkara baru.

Pada Oktober tahun lepas DAP mengecam sekeras-kerasnya “undang-undang Ketuanan Yahudi” dan menyifatkannya sebagai zalim, tidak adil dan tidak demokratik.

Ini selepas parlimen Israel meluluskan rang undang-undang kontroversi yang mentakrifkan negara itu sebagai negara Yahudi secara eksklusif dengan 62 ahli parlimen menyokong manakala 55 lagi menolak.

“DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan Knesset Israel yang telah meluluskan “undang-undang negara Yahudi” yang bersifat zalim, tidak adil dan tidak demokratik sama sekali,” kata Lim ketika itu.

Menurut Lim undang-undang terbaru tersebut menjunjung konsep ketuanan Yahudi dan menindas hak-hak minoriti terutamanya bangsa Arab.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");