Panasnya Hari Ini

Guan Eng Minta Najib Kempen Secara ‘Gentleman’

MUAR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata beliau tidak mengugut penjawat awam berhubung pemilihan calon yang ada kaitan dengan kerajaan yang mampu membayar gaji kakitangan kerajaan.

Menafikan tuduhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, konon beliau mengugut tidak membayar gaji penjawat awam jika tidak mendapat undi di Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Guang Eng berkata ia adalah dakwaan palsu.

Guan Eng meminta Najib berkempen secara lebih budiman.

“Berkaitan dengan pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai di mana Najib membuat satu kenyataan palsu di mana saya tidak sebut pun sama sekali bahawa saya main ugut-ugut untuk mereka yang tidak undi Pakatan Harapan (PH), tidak akan bayar gaji pegawai kerajaan.

“Mana ada saya sebut macam itu? Boleh dia (Najib) tunjuk bukti tak?.. kalau tak tunjuk bukti, gentlemen sikitlah. Jangan sampai bohong menjadi amalan dan budaya beliau.

“Saya sebut biar pengundi buat keputusan pilih parti yang bersih dan yang benar-benar lawan rasuah . Pilihlah parti yang boleh uruskan ekonomi dengan baik sampai dia (kerajaan) mampu bayar gaji (penjawat awam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang dan Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

Najib dalam entri di akaun Facebook semalam antara lain menuduh Guan Eng mengugut tidak membayar gaji penjawat awam jika tidak undi PH.

Guan Eng berkata, kerajaan hari ini tidak akan sesekali menafikan hak asasi rakyat hanya kerana mereka tidak mengundi PH.

Malah, katanya, pada masa sama Kerajaan Persekutuan juga meluluskan pinjaman sebanyak RM191.5 juta kepada negeri ditadbir pembangkang untuk membayar gaji penjawat awam.

“Sungguh pun kita dicaci, dimaki hamun, kita tetap luluskan pinjaman RM191.5 juta untuk 2018 dan tahun ini kerana kita tidak mahu susahkan pegawai kerajaan yang tidak bersalah.

“Kita masih berikan pinjaman kepada mereka supaya gaji pegawai kerajaan tidak terjejas, dia masih boleh dapat gaji untuk sara hidup keluarga mereka. Kita tidak hasad dengki sampai tahap itu.

“Takkan kita nak nafikan apa yang menjadi hak asasi rakyat hanya kerana tidak undi PH. Kita lihat semua pegawai kerajaan dapat gaji, tak ada masalah,” katanya.

Beliau secara sinis berkata, kalau ingin memenangi PRK Tanjung Piai pun, janganlah menang menerusi pembohongan atau fitnah kerana jika menang pun ia tidak akan membawa sebarang makna.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");