Sukan Hari Ini

Hamidin Tuntut Anak Buah Kim Swee Bangkit

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin paling terkesan dengan kekalahan 1-0 skuad negara kepada Filipina pada aksi kedua Kumpulan A Sukan SEA 2019 di Stadium Rizal Memorial, malam tadi.

Sambil menyifatkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee memilih jalan sukar, Hamidin bagaimanapun masih menaruh keyakinan pasukan negara masih berpeluang untuk layak ke separuh akhir.

“Saya turut menyaksikan perlawanan semalam dan saya sudah pun menghubungi Kim Swee. Bukan dia saja kecewa, saya lagi kecewa.

“Saya beri ingatan kepada Kim Swee dan pemain supaya bangkit dalam baki dua perlawanan. Walaupun kita lihat laluan sukar tetapi kita tidak ada pilihan kecuali menang dalam aksi seterusnya.

“Kita patut menang dan kita sudah buat pilihan sukar. Mereka perlu bekerja lebih keras dan saya harap pasukan kita mampu tunjukkan aksi terbaik,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Bolasepak Junior Antarabangsa Kelab Diraja Selangor (RSC) ke-15, hari ini, lapor BH Online.

Pada penganjuran itu, seramai kira-kira 1,000 kanak-kanak berusia enam hingga 16 tahun mengambil bahagian dalam lima kategori, membabitkan 81 pasukan.

Mengulas usaha berterusan RSC dalam melahirkan bakat baharu, Hamidin berkata FAM sedia membantu mana-mana akademi untuk menghantar jurulatih mendapatkan lesen.

“Di pihak FAM, saya gembira kerana saya sukakan akademi atau pun badan bukan kerajaan tampil konsisten mengangkat bola sepak. Kalau kita tengok hari ini, hampir semua bangsa ada, Melayu, Cina, India dan juga lain-lain.

“Saya fikir kita boleh bermula dengan 30 jurulatih (menjalani kursus kejurulatihan). Tetapi saya kira, di RSC kita boleh dapat 30 hingga 50 orang pada bila-bila masa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");