Berita Hari Ini

Hari ke-3: Firma Dikaitkan Jho Low Dibangkitkan Dalam Mesyuarat Audit 1MDB

Kes perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1DMB, K Arul Kanda berhubung pindaan laporan audit 1MDB masuk hari ketiga hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


12.29 tengah hari: Prosiding disambung semula, dengan mahkamah membenarkan rakaman audio mesyuarat yang membincangkan laporan akhir audit 1MDB pada 2016 diputarkan semula.


12.02 tengah hari: Mahkamah berhenti rehat seketika, dengan rakaman audio turut dihentikan buat sementara waktu.


Firma dikaitkan dengan Jho Low dibangkitkan dalam mesyuarat

11.35 pagi: Firma yang dikaitkan dengan Jho Low, Good Star Limited dibangkitkan dalam mesyuarat berhubung laporan akhir audit 1MDB pada 2016.

Ini dapat didengar dalam rakaman audio mesyuarat itu, dipercayai pada 24 Feb tahun itu, di mana keputusan dibuat untuk menghapuskan isu-isu kontroversi tertentu yang dikaitkan dengan laporan akhir audit 1MDB.

Suara yang membangkitkan isu itu dipercayai adalah milik Saadatul Nafisah, yang bersama Ketua Audit Negara ketika itu, Ambrin Buang, yang mewakili Jabatan Audit Negara dalam mesyuarat tersebut.

Berdasarkan rakaman audio, satu lagi suara dipercayai CEO 1MDB ketika itu, K Arul Kanda kedengaran menjelaskan perkara berkenaan.


Bunyi pertengkaran dapat didengar dalam rakaman mesyuarat

11.06 pagi: Ketika pihak pendakwaan memutarkan rakaman audio di mahkamah, yang panjangnya kira-kira satu jam empat puluh lima minit, bunyi pertengkaran boleh didengar daripada audio mesyuarat itu yang dikaitkan dengan dakwaan meminda laporan audit 1MDB pada 2016.

Ia boleh didengar daripada mereka yang hadir mesyuarat itu, termasuk seorang wanita dipercayai pegawai Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah berdebat antara satu sama lain.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apa yang mereka bincangkan secara khusus, kerana rakaman audio itu tidak begitu jelas.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dan peguam dibantu oleh transkrip rakaman, yang tidak disediakan kepada pihak media.

Berdasarkan pemerhatian pada bahagian transkrip rakaman audio yang ditunjukkan pada skrin yang agak jelas di Mahkamah Tinggi, dapat dilihat perbalahan antara bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda.


Saksi kenal pasti suara mereka yang hadir mesyuarat

10.45 pagi: Mahkamah terus mendengar rakaman audio yang dikatakan berkaitan dengan pindaan laporan audit 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram pada masa ini menghentikan rakaman seketika untuk meminta saksi mengenal pasti suara individu yang mereka dengar.

Saksi, iaitu bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, setakat ini mengenal pasti suara bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang, pegawai Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah, Mohd Isa Hussain (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan Shukry Mohd Salleh (bekas ketua setiausaha sulit Najib Razak).

Menurut keterangan Ali Hamsa semasa pendengaran semalam, mesyuarat itu berlaku pada 24 Feb 2016.

Ali hari ini memberi keterangan bahawa beliau mempengerusikan mesyuarat itu, dan mendakwa ia dilakukan atas arahan Najib yang mahu koordinasi mengenai laporan audit 1MDB.


Ali Hamsa sahkan suaranya dalam rakaman audio

10.20 pagi: Bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa mengesahkan suaranya dalam rakaman audio mesyuarat yang dikaitkan dengan pindaan laporan akhir audit 1MDB ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Gopal Sri Ram.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa Ali dan bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, menghadiri mesyuarat itu pada 24 Feb 2016, di mana keputusan dibuat untuk menghapuskan empat isu daripada laporan audit berkenaan.

Antara isu itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dalam mesyuarat lembaga 1MDB yang dikaitkan dengan penangguhan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB.


Pendakwaan mainkan rakaman audio mesyuarat

10.16 pagi: Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram mengemukakan pen drive di mahkamah tinggi yang dikatakan mengandungi rakaman audio mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Rakaman audio itu kemudian diputarkan di mahkamah.


Prosiding bermula apabila Najib, Arul Kanda memasuki kandang tertudung

10.15 pagi: Prosiding bermula, dengan Najib Razak dan Arul Kanda memasuki kandang tertuduh.

10.00 pagi: Kedua-dua tertuduh, bekas Perdana Menteri Najib Razak dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dilihat berada di mahkamah sambil menunggu perbicaraan bermula.

Juga dilihat berada di mahkamah ialah peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, peguam utama Arul Kanda, N Sivananthan dan DPP Gopal Sri Ram.


Hari ketiga perbicaraan terhadap Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, K Arul Kanda berhubung pindaan laporan audit 1MDB dijangka menyaksikan lebih banyak pendedahan mengejutkan daripada bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa.

Ali yang disenaraikan sebagai saksi pendakwaan keempat, dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Beliau memberikan keterangan sebaik sahaja penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Muhamad Akmaludin Abdullah yang merupakan saksi pendakwaan ketiga, selesai memberikan keterangannya.

Pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya (DPP) Gopal Sri Ram memberikan tamparan hebat kepada pihak pembelaan semalam, dengan saksi itu memberi keterangan bahawa Najib didakwa mengarahkan saksi tersebut pada 22 Feb 2016, untuk mengadakan pertemuan dua hari kemudian bagi membincangkan pindaan kepada laporan audit 1MDB.

Bekas pegawai tinggi kerajaan itu juga memberitahu mahkamah semalam bahawa Peguam Negara, Abdul Gani Patail dipecat pada tahun 2015 kerana antara lain bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Pada 2015, Muhyiddin dilaporkan disingkirkan daripada kabinet kerana mempersoalkan isu berkaitan dengan skandal 1MDB.

Prosiding di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan akan disambung sekitar pukul 10 pagi ini dan Ali dijangka akan melalui pemeriksaan utama oleh pihak pendakwa raya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");