Perak Hari Ini

Hari Keputeraan Sultan Perak: Ketua Polis Negara Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Negeri

KUALA KANGSAR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendahului senarai 19 penerima Darjah Kebesaran Perak bersempena ulang tahun ke-63 Hari Keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Abdul Hamid menerima Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) manakala Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP), yang masing-masing membawa gelaran Datuk Seri, disampaikan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Nazrin juga berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Selain itu, Baginda turut berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada 12 tokoh dan individu termasuk seorang penerima Darjah Kehormat.

Mereka adalah Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi dan Abdul Yunus Jamhari.

 

Antara lain yang turut menerima DPMP ialah Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim; Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Zulazlan Abu Hassan serta Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak, Mohamed Azni Mohamed Ali.

Sementara Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud H S Qattan menerima DPMP Kehormat.

Baginda juga turut berkenan menganugerahkan Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan kepada empat penerima.

Antaranya adalah Pengarah Senggaraan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Brig Jen Mustaffa Othman serta Ketua Penolong Pengarah (Tadbir Urus/Kepolisan Am), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azizi Mat Aris.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormat 106 pegawai dan anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja Dua Divisyen diketuai Mejar Mohd Iqbal Mohd Zainuddin.

Pada sambutan tahun ini, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan 254 darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri bersempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang disambut 1 November baru-baru ini.

Majlis penganugerahan darjah, bintang dan pingat lain akan disempurnakan pada 16 November ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");